Harimau Malaya diletakkan sasaran untuk meraih kemenangan dalam aksi timbal balik ke atas Timor Leste malam ini bagi saingan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Meskipun boleh dianggap sudah sebelah kaki layak untuk ke peringkat seterusnya, Katua Jurulatih Malaysia, Tan Cheng Hoe turut meletakkan matlamat lain disebalik misi memburu kemenangan.

“Ranking sangat penting untuk undian pusingan kedua nanti, jadi saya nak pemain turun ke padang dengan misi untuk dapatkan keputusan yang positif esok. Perlawanan ini juga penting untuk meningkatkan keyakinan pasukan pada pusingan seterusnya, di mana kita akan bertemu pasukan yang lebih kuat,”kata Cheng Hoe.

 

 

Siapa yang bakal diturunkan hanya diketahui barisan kejurulatihan, apa yang pasti, Cheng Hoe mahu pemain pemain sentiasa memberikan yang terbaik ketika di padang.

“Selaku jurulatih, saya mahu pemain-pemain memberikan tumpuan dan semangat yang sama, turun ke padang dengan keyakinan yang sama, penumpuan sepenuhnya dan bermain dengan cara yang sama dalam perlawanan pertama. Kesemua pemain bersemangat dan dahagakan untuk bermain dan menyarung jersi Harimau Malaya, jadi saya perlu mencari kesebelasan terbaik esok, saya tidak mahu pemain merasa gentar dan tertekan esok, “ katanya.

 

 

Enam pemenang daripada pusingan pertama termasuk pemenang play-off antara Malaysia dan Timor Leste, akan menyertai 34 pasukan ranking teratas di Asia pada pusingan kedua termasuk penyandang juara Piala Asia, Qatar, selaku tuan rumah Piala Dunia 2022.

Pada pusingan kedua, yang dijadual September ini, 40 pasukan akan dibahagikan kepada lapan kumpulan dengan juara kumpulan dan empat pasukan kedua terbaik akan layak ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2022 dan slot automatik ke Piala Asia 2023.

- Advertisement -