Akademi Badminton Malaysia (ABM) kembali meriah apabila pemain pemain remaja negara kembali untuk menjalani sesi latihan.

43 pemain remaja (16-18 tahun) serta enam jurulatih kembali semula ke ABM selepas lebih empat bulan menjalani latihan secara sendirian susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula Mac lalu.

Ketibaan pemain dan jurulatih ‘ditemani’ Datuk Misbun Sidek yang tampak teruja untuk melatih pemain pemain muda negara.

Mengulas tentang perancangannya untuk skuad remaja kebangsaan, Datuk Misbun yang pernah menjadi jurulatih perseorangan kepada lagenda badminton negara Datuk Lee Chong Wei menegaskan tidak mahu terburu buru dalam merancang dan hala tuju ke Kejohanan Dunia Remaja yang dijadual berlangsung Januari 2021.

Kejohanan Dunia Remaja 2020 sepatutnya berlangsung di Auckland, New Zealand dari 28 September hingga 11 Oktober, telah ditunda kepada 11 hingga 24 Jan tahun depan.

Fokus utama Datuk Misbun adalah mengembalikan keserasian, kefahaman dan keselesaan pemain pemain yang tidak beraksi di gelanggang lebih empat bulan susulan pandemik Covid 19.

Malah, beliau tidak mahu pemain pemain mengalami kecederaan dan akan memulakan sesi latihan secara sederhana, malah tugas barisan kejurulatihan juga perlu memutuskan siapa yang akan beraksi dalam acara perseorangan dan bergu.

Untuk rekod, Malaysia hanya pernah muncul juara kejohanan itu pada 2011, walaupun pernah melahirkan beberapa juara dunia remaja seperti Goh Jin Wei yang meraih gelaran perseorangan wanita pada 2015 dan 2018, Zulfadli Zulkiffli (perseorangan lelaki 2011), Nelson Heg Wei Keat-Teo Ee Yi (beregu lelaki 2011) dan Ow Yao Han-Yew Hong Kheng (beregu lelaki 2010).

Misbun juga merancang untuk menganjurkan Kejohanan Bawah 21 Tahun pada awal September sebagai platform asas kepada penilaian pemain pemain.

Datuk Misbun yang kini dilantik sebagai Pengarah Pembangunan Remaja pada Februari lepas tidak akan campur tangan terhadap program yang disediakan oleh jurulatih sebaliknya hanya akan memberi panduan jika perlu.

 

Fazriq bukan ‘istimewa’ 

Turut kelihatan sesi lapor diri adalah anak kepada bekas lagenda bergu negara, Razif Sidek, Muhd Fazriq Mohamad Razif.

Datuk Misbun mengingatkan tiada istilah pilih kasih dalam kem nya meskipun Fazriq merupakan anak saudaranya.

Beliau mengakui Fazriq memiliki kelebihan tersendiri dan mampu untuk pergi lebih jauh, namun Misbun mahu dia perlu membuktikan kemampuannya dan bersaing dengan pemain lain bagi merebut posisi selaku pemain utama dalam skuad remaja kebangsaan.

Nama Fazriq menjadi sebutan pada tahun lalu selepas muncul juara acara perseorangan dan bergu kategori bawah 14 tahun di Kejohanan Badminton 100PLUS Grand Prix Finak Sirkit Remaja Kebangsaan yang berlangsung di Seremban tahun lalu.

Misbun ketika bercakap kepada media tempatan, “Tak ada (sentimen kekeluargaan)…dalam memilih pemain dalam pasukan, kita tidak harus ada pilih kasih, yang penting ialah ikut merit, keupayaan mereka sendiri bagaimana untuk menempatkan status diri beliau dalam team.

“Saya lebih suka semua orang mengambil peluang ini, kita akan menilai dan kita akan pilih mana yang terbaik untuk mewakili Malaysia. Malah, ada beberapa pemain lain yang mempunyai bakat semulajadi, apa yang kita perlu buat ialah gilap dan kembangkan bakat itu,”.

 

 

 

 

 

 

 

 

- Advertisement -