sepang-f1

Oleh Ku Mohd Lufti

Teka teki mengenai masa depan perlumbaan Formula One Grand Prix Malaysia tidak akan dilanjutkan apabila ia tamat pada 2018 kerana pulangan yang mengecewakan.

Perkara tersebut diumumkan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Katanya, kerajaan membelanjakan RM300 juta setahun untuk perlumbaan F1, namun nilai pulangan untuk perlumbaan itu adalah kurang daripada apa yang dibelanjakan.

“Secara keseluruhan, kita membelanjakan RM300 juta setahun tetapi kita tidak mendapat pulangan sebanyak RM300 juta…tiada pulangan daripada Grand Prix.

“Kontrak sedia ada adalah dari 2016 hingga 2018. Kita dapat lihat kehadiran penonton F1 menurun saban tahun, mungkin kerana kurang tarikan.

“Saya rasa orang dah tak berminat. Namun bagi MotoGP, jika ia dimansuhkan tahun depan, ia pasti akan menjejaskan pelancongan kita,” kata Datuk Seri Nazri Aziz.

Tambahnya lagi, kurang sambutan juga berpunca daripada ketiadaan wakil Malaysia yang berlumba di dalam saingan Formula One sejak negara menganjurkannya pada 1999.

Penghujung Oktober lalu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata pembangunan bakat tempatan dalam sukan permotoran lebih penting daripada mengeluarkan perbelanjaan besar bagi menganjurkan F1 GP Malaysia yang tidak menguntungkan.

- Advertisement -