Oleh Muhammad Aiman

Tujuh aksi pusingan ketiga Piala FA berlangsung malam tadi dengan kesemua pasukan pilihan meneruskan kemaraan ke peringkat suku akhir.

Mendahului senarai adalah juara bertahan Johor Darul Takzim yang langsung tidak menunjukkan belas buat pasukan Liga Premier, Uitm FC apabila mencatat kemenangan besar 4-0 di Stadium Larkin, Johor Bharu.

Dua gol jaringan Gonzalo Cabrera pada minit ke-19 dan 53 serta satu masing-masing sumbangan Ahmad Hazwan Bakri (m-22) dan Fadhli Shas (m-70) memastikan kemenangan buat skuad bimbingan Benjamin Mora.

Di Ipoh, Kedah bimbingan Tan Cheng Hoe mara dengan menyingkirkan tuan rumah, Perak hasil kemenangan 2-0 – kedua-dua jaringan Lang Merah terhasil pada separuh masa pertama menerusi Zach Anderson (m-28) dan Ken Ilso Larsen (m-43).

Pahang pula menewaskan Melaka United juga dengan keputusan 2-0 di Kuantan. Gol buat skuad bimbingan Dollah Salleh dijaringkan oleh Heo Jae Woon yang menyempurnakan penalti pada minit ke-17 dan Nor Azam Azih empat minit sebelum tamat perlawanan.

Sementara itu di Likas, Sabah bangkit dari ketinggalan untuk mencatat kemenangan 4-2 sekaligus mengelak diaibkan kelab dari Liga FAM, MOF FC.

Sabah mendahului seawal minit kelima menerusi Rahmanshah Marajeh namun MOF menjaringkan dua gol pantas menerusi Farizal Rozali (m-9) dan Aikal Aiman Rozlan (m-13) untuk mendahului 2-1.

Rahmanshah menyamakan kedudukan buat sang badak pada minit ke-22 sebelum jaringan Sofiane Choubani pada minit akhir separuh masa pertama serta Ummareng Bacok pada minit ke-86 memastikan kemenangan buat Sabah.

Aksi di Kuala Terengganu, pertemuan antara dua pasukan adik-beradik, Terengganu dan T-Team menyaksikan kemenangan buat pasukan ‘abang’ dengan keputusan 1-0. Gol tunggal perlawanan hanya hadir seminit sebelum tamat masa tambahan 30 minit menerusi Lutfulla Turaev selepas permainan masa sebenar berkesudahan seri tanpa jaringan.

Manakala di Paroi, pendahulu 100PLUS Liga Premier, Negeri Sembilan menjaringkan tiga gol di masa tambahan untuk mencatat kemenangan 4-1 ke atas pasukan tangga tercorot Liga Super, Pulau Pinang.

Marko Simic meletakkan Negeri Sembilan di depan 1-0 pada minit ke-45 sebelum Reinaldo Lobo mengikat kedudukan 1-1 pada minit ke-49. Kedudukan kekal sehingga tamat permainan dan skuad hoben jang hoben meledak tiga jaringan menerusi hatrik Andrew Tuck pada minit 107, 112 dan 120 untuk mengesahkan kemenangan.    

Dalam aksi di Kangar pula, Sarawak menidakkan hasrat Syamsul Saad untuk memulakan tugas di Perlis dengan langkah kanan apabila mencatat kemenangan 2-1 menerusi jaringan Ahdul Rahim dan Mark Hartmann di separuh masa pertama.

Walaupun cuba bangkit di separuh masa kedua dengan mengecilkan defisit menerusi jaringan Oh Kyu Bin, singa utara gagal untuk mendapatkan jaringan tambahan sekaligus menyaksikan mereka tewas buat kali kelima berturut-turut.

Terdahulu pada aksi berlangsung Jumaat, PKNP FC mara dengan mengetepikan Kuantan FA 5-4.   

- Advertisement -