Pemain tengah Pulau Pinang, Faiz Subri percaya Pulau Pinang akan menterjemahkan kebangkitan dalam sembilan perlawanan yang berbaki seterusnya kekal dalam Liga Super.
Buat musim kedua berturut-turut, Pulau Pinang bergelut di zon penyingkiran di mana setakat ini selepas 13 perlawanan, skuad bimbingan Zainal Abidin Hassan itu kekal berada di tangga tercorot dengan mengumpul enam mata hasil satu kemenangan dan tiga seri.
Mereka ketinggalan lima mata di belakang tiga pasukan ā PKNS FC, Melaka United dan Sarawak ā yang mengumpul 11 mata namun Faiz berpendapat peluang pasukan itu mendaki carta liga dan menamatkan cabaran di kedudukan 10 teratas masih terbuka.
āMemang kita akui setakat ini ianya musim yang agak suram buat Pulau Pinang, kita banyak cicirkan mata terutama di gelanggang sendiri. Mungkin disebabkan permulaan yang perlahan, tetapi sejak beberapa perlawanan lalu pasukan semakin menunjukkan peningkatan.
āKita hampir curi satu mata dari Johor (JDT), tewas tipis kepada Felda dan kemudian bangkit selamatkan satu mata di Kota Bharu walaupun sebelum itu kalah besar di tempat sendiri kepada Kelantan. Jadi ini memberikan kami semua motivasi untuk terus bekerja keras dan buat yang terbaik agar memastikan misi kekal di Liga Super dapat dicapai,ā kata Faiz.
Faiz ditemui Sports247 ketika hadir menjayakan Majlis Berbuka Puasa Adidas bersama Pasukan Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) di Bandar Utama pada Jumaat.
Tambah pemain yang mencuri perhatian dunia menerusi jaringan āmelawan hukum fizikā dan dinobatkan pemenang Anugerah Puskas FIFA 2016 itu, kegagalan Pulau Pinang melayakkan diri ke saingan Piala Malaysia buat musim kedua berturut-turut memang mengecewakan namun ianya sedikit sebanyak memberi kelebihan kepada mereka.
āSemua pasukan Liga Super akan mengharungi jadual begitu padat beraksi sembilan perlawanan pada Julai (termasuk perlawanan Piala Malaysia), tetapi hanya kami sahaja akan bermain lima perlawanan. Ini sudah tentunya memberi kami ruang bernafas selain mempunyai pemain yang cergas untuk menghadapi setiap perlawanan.
āKami perlu gunakan sebaiknya peluang itu kerana rehat yang cukup bukan sahaja boleh mengelak pemain dari risiko kecederaan, tetapi juga membolehkan kami tampil lebih yakin dan bertenaga berbanding pasukan lain,ā katanya yang menjaringkan satu gol musim ini ketika Pulau Pinang tewas 1-3 kepada Kedah.
Pulau Pinang akan menyepak mula baki saingan Liga Super dengan menentang JDT di Larkin pada 1 Julai, disusuli PKNS FC di Batu Kawan pada 11 Julai, Melaka (Hang Jebat, 15 Julai), Kedah (Batu Kawan, 22 Julai) dan Pahang (Batu Kawan, 26 Julai). – OLEH MUHAMMAD AIMAN