“Tidak perlu layan desakan netizen, TMJ tetap kekal Presiden FAM,” demikian menurut Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Dato’ Hamidin Amin berikutan kenyataan Tunku Ismail Sultan Ibrahim mahu melepaskan jawatan sebagai Presiden badan induk itu susulan kejatuhan ranking Malaysia ke kedudukan 178 dunia.
Tunku Mahkota Johor itu pada Khamis berkata kejatuhan ranking ke kedudukan terburuk itu satu kegagalan besar, dan sebagai Presiden, baginda perlu berundur. Baginda mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah memberinya peluang menerajui FAM dan menganggapnya sebagai satu penghormatan.
Menurut Hamidin, kenyataan itu sebenarnya lebih kepada luahan kekecewaan baginda terhadap segelintir netizen yang sentiasa menyalahkan Presiden FAM setiap kali ranking skuad Harimau Malaya jatuh namun menegaskan baginda tidak perlu tunduk kepada desakan netizen ini.
Hamidin turut menegaskan bahawa Tunku Ismail masih sah bergelar Presiden FAM kerana mengikut prosedur FAM, jika mana-mana Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM mahu meletak jawatan, individu berkenaan perlu menghantar surat rasmi dan Jawatankuasa Eksekutif FAM berhak menerima atau menolak peletakan jawatan itu.
Tambah Hamidin, TMJ telah banyak membawa perubahan sepanjang tempoh hampir setahun baginda bergelar Presiden FAM sejak 25 Mac 2017 malah kredibiliti dimiliki baginda turut memudahkan FAM menjalin kerjasama dengan pelbagai pihak di seluruh dunia serta memperkasakan lagi hubungan dengan FIFA dan AFC justeru ia satu kerugian besar jika baginda melepaskan jawatan.
“Susah untuk kita memuaskan hati semua pihak. Biarpun mungkin Tunku Ismail tidak dapat memuaskan hati segelintir netizen ini, baginda sebenarnya telah berjaya memuaskan hati ramai pemegang taruh sukan bola sepak di negara ini, tidak kiralah di kalangan pasukan, pemain, jurulatih, pegawai, peminat, penyokong dan semua yang terlibat.
“Sudah tentu jika kita membiarkan Tunku Ismail meletak jawatan, kita juga akan kehilangan penaja dan saya sendiri tidak dapat membayangkan siapa yang layak untuk menggantikan tempat baginda sebagai Presiden FAM.
“Pada saya, semua ahli gabungan FAM turut sependapat yang Tunku Ismail adalah satu-satunya insan pada masa sekarang ini yang benar-benar layak untuk menduduki kerusi Presiden FAM. Malah wakil daripada FIFA dan AFC juga telah menghubungi saya malam tadi untuk bertanyakan hal ini dan mereka sependapat bahawa Tunku Ismail perlu terus kekal menerajui FAM dan tidak wajar meletak jawatan.
“Oleh itu, saya bersama-sama semua barisan ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM (Exco FAM) telah bersetuju untuk terus berdiri teguh di belakang kepimpinan Tunku Ismail sebagai Presiden FAM dan mahu baginda terus kekal memegang jawatan berkenaan,” kata Hamidin.
Jelas Hamidin lagi, ranking Harimau Malaya boleh diperbaiki apabila skuad kebangsaan yang kini dikendalikan Tan Cheng Hoe memulakan aksi bagi tahun 2018 dengan bertemu Mongolia pada 22 Mac  dan Lebanon pada 27 Mac. – OLEH MUHAMMAD AIMAN