Hari ini, penulis ada terbaca laporan di media tempatan di mana Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) Dato’ Seri Affandi Hamzah menyatakan keyakinan betapa pasukan itu boleh kekal di dalam saingan Liga Super musim depan di sebalik berdepan kemelut prestasi.
Menurut Affandi, keyakinan itu kerana masih ada lima perlawanan yang perlu diharungi justeru kedudukan Kelantan masih boleh diperbaiki sekiranya baki perlawanan tersebut dimanfaatkan.
Tidak salah untuk berasa yakin, tetapi Affandi mungkin lupa, atau tidak sedar atau mungkin tidak cakna kedudukan carta Liga Super bahawa Kelantan ketika ini berada di tangga tercorot dengan hanya 11 mata, dan hanya ada lima perlawanan sahaja lagi untuk diharungi.
Diulangi, HANYA lima perlawanan dan bukannya MASIH ada lima perlawanan – hanya dan masih adalah dua situasi yang berbeza.
Berdasarkan kedudukan semasa, Kelantan ketinggalan enam mata di belakang pasukan tangga kesepuluh, PKNP FC yang mengutip 18 mata, dan PKNP pula beraksi kurang satu perlawanan, bermakna PKNP ada enam lagi perlawanan untuk diharungi.
Untuk Kelantan kekal dalam Liga Super pada situasi ini, mereka tiada pilihan selain perlu menang kesemua lima perlawanan atau setidak-tidaknya empat daripada lima perlawanan terakhir dan mereka memerlukan keajaiban untuk melakukannya dalam masa sama mengharapkan PKNP FC, Melaka United dan Kuala Lumpur mengalami keciciran mata.
Bayangkan Negeri Sembilan yang berada satu tangga di atas mereka dengan beza satu mata, diperkuatkan lima import dan menunjukkan prestasi yang lebih baik dari Kelantan sendiri belum tentu terselamat dalam perjuangan ini dan mereka Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan mengakui ianya misi sukar.
Justeru bagaimana Affandi boleh berpendapat dengan begitu yakin sebuah pasukan yang hanya mencatat tiga kemenangan dalam 17 perlawanan, menunjukkan prestasi yang teruk dan berdepan krisis keyakinan dek pelbagai masalah luar padang boleh untuk mencipta keajaiban tersebut.
Lebih-lebih lagi lawan yang menanti mereka adalah Selangor, Melaka dan Pahang di Kota Bharu manakala Terengganu dan Johor Darul Takzim di gelanggang lawan. Ketika aksi pusingan pertama, Kelantan tewas kepada empat daripada lima lawan tersebut.
Ironinya, jurulatih Kelantan, Yusri Che Lah sendiri pernah mengeluarkan kenyataan sama sejurus selepas kekalahan terbaru kepada Perak pada minggu lalu dan ia dilihat tidak lebih dari bersifat mahu ‘menyedapkan’ hati sendiri, hati penyokong dan pengurusan.
Namun pengurusan KAFA baik ianya presiden mereka Bibi Ramjani Ilias Khan yang tidak pernah mengakui kesilapan, Dato’ Affandi mahupun siapa sahaja yang berada di dalam saf kepimpinan ketika ini, perlu mengakui mereka telah gagal dan bukannya mengeluarkan kenyataan dangkal bagi menutup kegagalan.
Penyokong bolasepak pada hari ini mempunyai ilmu bolasepak yang lebih tinggi dari mereka-mereka yang berada di dalam pengurusan. MUHD AIMAN