Kem Junior Bola Sepak Allianz (AJFC) 2017 mengumumkan 13 pemain terbaik yang layak ke Kem AJFC Asia di Bali, Indonesia yang akan diadakan pada Ogos depan.
Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia Berhad, Zakri Khir berkata, “Pada kemuncak Grand Finals ini, 13 pemain yang dipilih ini adalah untuk menghadiri AJFC Asia di Bali, Indonesia pada 1 hingga 4 Ogos ini.”
“Selain itu, di kem Asia nanti akan ada juga pemilihan tiga pemain terbaik Malaysia untuk berlatih di bawah rekod 27 kali Juara Jerman FC Bayern Munich di Munich, Jerman bermula 17 sehingga 22 Ogos ini,” katanya ketika ditemui di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang hari ini (15 Julai).
Mengulas lanjut mengenai kriteria pemilihan 13 pemain terbaik untuk AJFC Asia ini, Zakri Khir berkata, juri panel memilih pemain berdasarkan aspek kemahiran bermain bola sepak, taktikal, kerjasama antara pemain dan tingkah laku pemain semasa beraksi di padang.
Tambah beliau lagi, matlamat AJFC untuk mengembangkan bola sepak dari akar umbi dan beliau turut berharap AJFC ini dapat memberi inspirasi kepada pemain memiliki keyakinan untuk terus bermain bola sepak.
Turut hadir bersama menyaksikan perlawanan akhir Liga AJFC Malaysia, Duta besar FC Bayern AJFC, Giovane Elber dan CEO Allianz Life Insurance Malaysia Berhad, Joseph Gross.
Sementara itu, bekas penyerang FC Bayern, Giovane Elber juga turut memainkan peranan dalam menilai pemain ini nanti.
“Saya gembira untuk remaja-remaja ini kerana AJFC Asia adalah pengalaman hebat dan ini (AJFC Asia) juga adalah peluang yang sempurna bagi remaja-remaja ini untuk mendapatkan pengalaman berharga di bawah jurulatih belia FC Bayern dan saya sendiri.
“Matlamat mereka (pemain) adalah untuk mempamerkan bakat mereka dan menarik perhatian juri bagi mendapatkan peluang menjadi sebahagian daripada AJFC Munich. Tetapi ia juga penting untuk mereka menikmati pengalaman keseluruhan,” katanya.
Berikut senarai penuh 13 pemain terbaik yang akan ke Kem AJFC Asia di Bali, Indonesia:
Devessraja A/L Sathimorty
Muhammad Hafiz Jaafar
Muhammad Alif Mohd Zaidi
Muhammad Shafiq Shazwan
Chia Rio Han
Amirul Zul Aiman Asmaly
Salehudin Othman
Mohamad Mirzan Narji
Dani Adli Shaiful Azua
Ritcaie Svenson Fred DonnyÂ
Mohd Azlizan Mohd AzlanÂ
Ajay Jamain
Muhaimi Aeizad Azhar.
AJFC Malaysia memulakan kerjaya pada tahun 2012 dan menawarkan pemain bola sepak Malaysia berumur 14 hingga 16 tahun untuk melatih dengan juara Jerman 26 kali, Bayern Munich di Munich, Jerman.
Untuk rekod, tahun 2017 adalah tahun kesembilan Kem Bola Sepak Allianz Junior diadakan di seluruh dunia dan tahun 2017 juga, Malaysia adalah sebahagian dari acara untuk tahun keenam berturut-turut. – BY HUSNIYAH GHAZALI