Melaka United di ambang melakar kemenangan selesa 3-0 tetapi semuanya punah dalam masa lima minit terakhir apabila PKNS menjaringkan tiga gol untuk mengikat kedudukan 3-3 dalam aksi di Stadium Hang Jebat pada Sabtu.
Dua jaringan oleh pemain dari Korea Selatan Lee Chan Hoon (m-7, 79) dan satu oleh Ifedayo Olusegun (m-70) meletakkan skuad E.Elavarasan di ambang melakar kemenangan pertama namun sang semut merah melakar kebangkitan sensasi menerusi jaringan Romel Morales (m-87), Bruno Matos (m-89) dan Rafael Ramazoti (m-90+2).
Keputusan itu menyaksikan PKNS yang membelasah PDRM 5-2 dalam aksi sulung tempoh hari mendahului Kumpulan B dengan empat mata manakala Melaka di tempat kedua dengan dua mata.
Sementara itu dalam aksi Kumpulan A, turut menyaksikan penamat yang cukup mendebarkan apabila Perak menjaringkan tiga gol dalam tempoh 10 minit terakhir namun masih gagal untuk mengelakkan kekalahan 3-4 kepada Terengganu.
Aksi di Stadium Ipoh menyaksikan Terengganu bimbingan Irfan Bakti mendahului selesa 4-0 menerusi jaringan Ashaari Samsudin (m-8), Lee Tuck (m-45+5), Wan Amirzafran Wan Nadris (m-58) dan Faiz Nasir (m-82) tetapi Perak bangkit meledak tiga jaringan menerusi Wander Luiz (m-86,90) dan penalti Leandro Santos (m-90+5) namun sudah terlewat untuk cuba mencuri satu mata.
Dengan dua kemenangan, Terengganu mengungguli Kumpulan A dengan enam mata.
Dalam aksi Kumpulan D, Pahang mencatat kemenangan sulung dengan menewaskan Selangor 2-0 di Stadium Shah Alam menerusi jaringan Muslim Ahmad pada minit ke-30 dan Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-54.
Sementara Sabah pula mengejutkan PKNP FC dengan keputusan 1-0 menerusi jaringan tunggal Rahman Shah Marajeh pada masa kecederaan.
Pahang melonjak selaku pendahulu kumpulan dengan empat mata manakala Sabah di tempat kedua. MUHD AIMANÂ