Oleh Muhammad Aiman
Tiga wakil negara akan membawa cabaran pada perlawanan akhir Kejohanan Badminton Terbuka Vietnam pada Ahad setelah menundukkan lawan masing-masing di peringkat separuh akhir yang berlangsung pada Sabtu di Ho Chi Minh City. Mendahului senarai adalah pasangan beregu campuran meningkat naik, Tan Kian Meng dan Lai Pei Jing yang mara ke final setelah mencatat kemenangan ke atas pilihan kedua kejohanan dari Indonesia Hafiz Faisal/Shella Devi Aulia.
Kian Meng dan Pei Jing yang hanya digandingkan pada penghujung tahun lalu, mengetepikan tentangan sengit Hafiz dan Shella dengan keputusan 23-21 dan 21-19 dalam masa 45 minit sekaligus mara ke aksi final keempat mereka tahun ini. Pasangan yang berada di ranking ke-37 dunia itu mengintai kejuaraan pertama mereka setelah gagal dalam kesemua tiga aksi akhir sebelum ini di Terbuka Malaysia Masters (Januari), Cabaran Antarabangsa Poland (Mac) dan Terbuka Taiwan awal bulan ini.
Menanti Kian Meng dan Pei Jing pada perlawanan akhir adalah pilihan keempat juga dari Indonesia, Alfian Eko Prasetya dan Anissa Saufika. Turut mara ke perlawanan akhir adalah pemain perseorangan lelaki, Chong Wei Feng yang mara setelah menyingkirkan Firman Abdul Kholik dari Indonesia 21-19, 21-15 dalam masa 42 minit.
Pemenang pingat emas Sukan Sea Singapura 2015 yang membuat keputusan meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia pada April itu, akan berdepan pemain Hong Kong, Vincent Wong Wing Ki pada perlawanan akhir. Melengkapkan cabaran negara di perlawanan akhir adalah pasangan beregu lelaki Koo Kien Keat/Tan Boon Heong yang juga pilihan utama kejohanan.
Bekas juara All England 2007 itu mara ke final setelah menang mudah ke atas rakan senegara Lim Khim Wah/Ong Jian Guo 21-14, 21-10 dalam masa 28 minit. Kien Kiat dan Boon Heong yang turut mencari gelaran pertama bagu tahun 2016, akan menentang pilihan kedua dari Taiwan, Lee Jhe Huei/Lee Yang pada perlawanan akhir.
Sementara itu, pemain perseorangan wanita Sonia Cheah pula gagal meneruskan kemaraan setelah kecundang kepada pemain Singapura, Yeo Jia Min 17-21, 12, 21 dalam masa 35 minit.