Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), mengumumkan penjualan tiket kombo berharga RM70 bagi menyaksikan kesemua empat perlawanan Pestabola Merdeka 2024 Edisi Ke-43 di www.tickethotline.com.my.

Pestabola Merdeka 2024 akan berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil dengan dua perlawanan separuh akhir pada Rabu, 4 September 2024 – Lubnan bertemu Tajikistan (4.30 petang) dan Malaysia bertemu Filipina (9.00 malam), diikuti dua lagi perlawanan pada Ahad, 8 September 2024 iaitu Penentuan Tempat Ketiga (4.30 petang) dan Final (9.00 malam).

Tiket kombo pada harga RM70 itu adalah tiket bagi Kategori Terbuka sahaja yang mana penjualan awal dalam tempoh terhad selama 14 hari itu adalah untuk memudahkan penyokong setia Harimau Malaya yang mahu hadir pada kedua-dua hari perlawanan iaitu pada 4 dan 8 September 2024.

Sementara tiket biasa pula akan dibuka jualannya bermula pada Rabu, 21 Ogos 2024 sehingga ke hari perlawanan.

Harga tiket untuk setiap Hari Perlawanan ialah RM40 (dewasa) dan RM5 (kanak-kanak 6 hingga 12 tahun) bagi Kategori Terbuka, RM60 bagi Kategori Grandstand dan RM80 bagi Kategori Premium.

Kesemua harga yang ditetapkan ini adalah sama dengan harga yang dikenakan pada Pestabola Merdeka 2023 Edisi Ke-42 yang berlangsung di venue sama, Oktober tahun lalu tanpa sebarang kenaikan sebagai tanda penghargaan kepada sokongan berterusan yang diberikan oleh penyokong Harimau Malaya.

. – www.fam.org.ny

- Advertisement -