Oleh Muhammad Aiman
Selepas pulang tangan kosong dari Singapura dua tahun lalu, skuad tinju negara meletakkan sasaran untuk menebus kecewa tersebut di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, yang berlangsung Ogos depan.
Meskipun tidak berani menyatakan jumlah mahupun warna pingat yang disasarkan untuk diraih barisan petinju negara, pengurus pasukan tinju kebangsaan Datuk Rahman Lariwoo berkata mereka sudah bersedia untuk memberikan yang terbaik di temasya dwitahunan itu.
“Kita telah bersedia sepenuhnya, tahun ini kita berusaha sebaik mungkin untuk sumbangkan pingat. Saya penuh yakin dengan kebolehan jurulatih tempatan kita dalam melatih atlet-atlet malah kita juga telah melalui pelbagai pertandingan.
“Pada 28 April pasukan tinju akan ke Uzbekistan untuk bertanding di Kejohanan Tinju Elit Asia ASBC, dan akan berlatih selama dua bulan lebih dari 2 Mei hingga 15 Julai di Kazakhstan. Itu adalah fasa terakhir latihan kita.
“Kita memilih Kazakhstan sebagai venue latihan kerana negara itu antara kuasa besar tinju, banyak melahirkan petinju-petinju yang bagus di pentas antarabangsa. Jadi ia satu ruang pendedahan yang baik buat petinju kita,” kata Rahman pada sidang media Program Kita Juara di Majlis Sukan Negara pada Rabu.
Tambah beliau lagi, “Tiga petinju kita akan mengambil bahagian di Sukan Perpaduan Islam Keempat di Baku, Azerbaijan bermula 12 Mei jadi semuanya di landasan tepat.”
Tinju di temasya KL 2017 akan mempertandingkan sebanyak enam pingat emas bagi kategori 49kilogram (kg), 52kg, 56kg, 64kg, 75kg dan 81kg dengan Malaysia akan menyenaraikan seorang petinju bagi setiap kategori.
Temasya Singapura 2015 adalah kali pertama Malaysia gagal meraih sebarang pingat menerusi sukan tinju manakala dua tahun sebelumnya di Myanmar, tinju menyumbang satu perak dan satu gangsa. Kali terakhir Malaysia memenangi pingat emas pula adalah pada temasya 2009 di Laos menerusi Farkhan Haron (75kg) dan Fairus Azwan Abdullah (81kg).
Dalam pada itu, pemenang pingat gangsa di Myanmar 2013, Mohd Fuad Redzuan yang akan tampil di Sukan Sea buat kali kelima berharap dia dapat memperbaiki pencapaian itu kali ini dengan meletakkan sasaran layak sekurang-kurangnya ke final.
“Itu adalah sasaran awal saya, kalau dapat emas itu satu bonus. Keyakinan saya tinggi, saya berpendapat ia tidak mustahil untuk dilakukan, dalam masa sama mengharapkan tuah undian akan memihak kepada kita,” ujar atlet berusia 26 tahun itu.