Kongres Tahunan Kedua Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) yang berlangsung di Johor Bharu pada Ahad menyaksikan Tunku Ismail Sultan Ibrahim kekal sebagai pengerusi badan pengelola Liga Malaysia itu.
Pemilihan Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu untuk kekal sebagai pengerusi dibuat ahli-ahli Kongres FMLLP melalui undian setelah kesemua mereka bersetuju menggubal perlembagaan agar jawatan Pengerusi FMLLP dan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia dipisahkan – sebelum ini, Presiden FAM secara automatik menjadi Pengerusi FMLLP.
Ahli Kongres mencalonkan nama TMJ dalam Kongres tersebut, namun, tiada pencalonan nama lain dibuat sekaligus menyaksikan baginda kekal sebagai Pengerusi FMLLP tanpa bertanding.
“Saya ingin menasihatkan kepada semua pasukan untuk menjaga dari segi tatatertib dan tidak melakukan kesalahan-kesalahan kecil. Jika ada buat silap, kita ada SOP (System Operating Procedure) untuk dihormati dan tidak boleh menyalahkan pihak FMLLP.
“Jadi dari segi pentadbiran saya mahukan ada perubahan untuk setiap pasukan. Saya lebih suka membantu dari mendenda, jadi pada masa akan datang saya harap menerima lebih kerjasama dari setiap pasukan,” kata TMJ selepas pengumuman sebagai Pengerusi FMLLP.
Turut hadir semasa kongres tersebut ialah penaja-penaja Liga Malaysia 2018, Siti Farah Diba Abdul Ghani (Pengurus Besar Pemasaran Sukan dan Perniagaan Telekom Malaysia), Jason Monteiro (Ketua Pegawai Eksekutif iflix) dan Sandeep Joseph (Ketua Pegawai Eksekutif Ampersand Advisory).
Dengan penggubalan perlembagaan dan kekal sebagai Pengerusi FMLLP, Tunku Ismail juga membuat keputusan besar melepaskan jawatannya sebagai Presiden FAM – genap setahun baginda menduduki kerusi panas itu.
Dalam sidang media selepas kongres, TMJ yang juga pemilik kelab bolasepak Johor Darul Takzim membuat pengesahan itu sambil menunjukkan surat peletakkan jawatannya dan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak termasuklah penaja serta peminat bolasepak tempatan yang telah memberi kepercayaan kepadanya untuk mengtransformasikan bolasepak tanah air.
“Saya ibarat seekor harimau yang tidak berkhidmat untuk kambing biri-biri. Kerana harimau dan kambing biri-biri tidak boleh duduk bersama. Harimau kena berkhidmat kepada harimau,” ujarnya.
Surat peletakan jawatan baginda telah diserahkan kepada Setiausaha Agung FAM, Dato’ Hamidin Amin. Adalah diketahui tujuan TMJ mahu memisahkan jawatan Presiden FAM dan FMLLP adalah kerana mahu FAM ditadbir tanpa sebarang kepentingan.
Justeru dengan keputusan yang dibuat ini baginda akan memberi sepenuh tumpuan kepada usaha memacu perjalanan Liga Malaysia ke arah lebih profesional, dinamik dan efisien seterusnya meningkatkan lagi kualitinya selain memperkasa kedudukan kewangan.
Ia juga dilihat sebagai satu permulaan kepada usaha memisahkan politik dan bolasepak.
Dalam pada itu, ketua pegawai eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam berkata FMLLP akan melalui proses penjenamaan semula dan akan dikenali dengan nama Malaysia Football League (MFL). – OLEH MUHAMMAD AIMAN