Oleh Muhammad Aiman
Sejak mengambil alih kerusi panas Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dari ayahndanya pada pertengahan 2014, entah berapa kali kelibat Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah pernah dilihat terlibat di dalam mana-mana aktiviti badan induk bolasepak tanah air itu.
Mungkin boleh dibilang dengan jari, dan apatah lagi setelah mengumumkan mahu berundur kurang setahun selepas melaungkan ikrar mahu mengangkat semula martabat bolasepak negara, beliau menganggap tanggungjawabnya bersama FAM sudah selesai.
Segala amanat dan mandat diserah untuk diuruskan barisan pembantunya yang merupakan ‘genius’ bolasepak. Mungkin itu maksud perkataan tanggungjawab dalam kamus TMP, iaitu ‘lepas tangan’.
Terbaru, kelibatnya tiada pada Kongres Tahunan FAM ke-52 yang berlangsung pada Khamis, sekaligus membuktikan betapa ia adalah satu kesilapan besar apabila membenarkan baginda menduduki kerusi panas itu atas tanggapan mampu membawa transformasi yang diharapkan terhadap bola sepak Malaysia.
Mungkin ada yang berpendapat tiada bezanya TMP ada atau tiada, kongres akan tetap berlangsung seperti biasa tetapi apa gunanya mencabar jawatan presiden, melobi sana-sini walhal setahun sekali pun tidak mempunyai masa untuk duduk bersama membincangkan dan menjana idea bagi membaikpulih segala kepincangan.
Malah, andai sudah tidak berminat sekalipun untuk bertanggungjawab, dan menerajui FAM, setidak-tidaknya tamatkan tugas dengan satu reputasi yang baik, bukan ibarat nakhoda yang berlari meninggalkan kapal yang sedang karam.
Ketika ini, walaupun TMP masih belum melepaskan jawatan secara rasmi, segala tugasnya sudahpun sedia dipangku Timbalan Presiden, Dato’ Sri Affandi Hamzah malah baginda juga menyerahkan kepada Jawatankuasa Eksekutif FAM yang akan bersidang bulan depan untuk memutuskan tarikh bagi pemilihan pucuk pimpinan baru sesi 2017-2021.
Dalam perkembangan berkaitan, Affandi yang merasmikan kongres menjelaskan pemilihan pimpinan baru akan diadakan serentak dengan Kongres Tahunan FAM ke-53 bagi melancarkan proses peralihan kuasa.
Menjelaskan lebih lanjut mengenai pemilihan tersebut, Affandi berkata, “Pemilihan untuk jawatan exco FAM termasuk Presiden mestilah hadir daripada ahli gabungan selaras dengan statut FAM. Pencalonan terbuka kepada mana-mana individu yang berpengalaman dalam bolasepak, dan sekurang-kurangnya mestilah dicalonkan oleh satu ahli gabungan untuk layak jadi presiden FAM.
“Kita memerlukan sekurang-kurangnya tiga bulan sebelum mesyuarat AGM berlaku dan untuk itu, ada tempoh pencalonan perlu dikemukakan sehingga kita menerima senarai nama calon sebelum dibawa ke mesyuarat agong tahunan.”
Sebelum ini, mesyuarat exco FAM pada 15 Ogos, bersetuju untuk mengawalkan pemilihan baru yang sepatutnya berlangsung pada 2018 ke tahun hadapan, sebagai tanda kesepakatan semua ahli exco susulan hasrat TMP melepaskan jawatannya.
Sementara itu, kongres pada Khamis berlangsung sekitar 40 minit, agak suram dengan hanya lapan agenda dibincangkan tanpa ada soal jawab dengan ahli gabungan, malah tiada sebarang isu yang dibangkitkan.
Individu-individu yang lantang bersuara di media sosial, sekadar menjadi ‘pak angguk’ meskipun diberikan peluang terutamanya apabila laporan aktiviti tahunan dan laporan kewangan dibentangkan, atau berkaitan apa sahaja sama ada program pembangunan, skuad kebangsaan dan sebagainya.
Agak membimbangkan apabila memikirkan, antara individu-individu yang sama inilah yang akan membentuk pimpinan baharu pada tahun depan. Entah apa halatuju seterusnya, entah apa kesudahannya. Masih adakah sinar di hujung terowong?