SAINGAN TNB Liga Hoki Malaysia (Wanita) 2022 memasuki separuh kedua dengan Negeri Sembilan dan KPT-Uniten Thunderbolts meneruskan penguasaan mengetepikan lawan masing-masing hari ini.

Ketika Negeri Sembilan terus dalam kelas tersendiri dengan mengekalkan rekod tanpa kalah selepas berpesta gol 10-0 mengatasi Sarawak Ladies hari ini, KPT-Uniten Thunderbolts pula terpaksa bergelut sebelum mmastikan kemenangan tipis 1-0 ke atas Sabah.

Kedua-dua pasukan pilihan itu kini mengisi dua kedudukan teratas tanpa sebarang kekalahan, berkongsi 16 mata dengan Negeri Sembilan mengungguli kedudukan berdasarkan jumlah jaringan 39 gol berbanding 19 oleh KPT-Uniten.

Bagi Negeri Sembilan, kemenangan 10-0 ke atas Sarawak Ladies itu merupakan yang terbesar berbanding empat kemenangan dengan jaringan besar sebelum ini iaitu menumpaskan Mutiara Impian (8-0), Sabah (5-0), National Development Team (8-0) dan Sarawak Ladies (7-0).

Pastinya, pertembungan Negeri Sembilan-KPT Uniten pada 7 Mac ini menjadi tumpuan selepas kedua-dua terikat 1-1 pada pertemuan sebelum ini.

Lima gol jaringan Nuramirah Shakirah Zulkifli (minit ke-10, 14, 21, 30 dan ke-32) meletakkan beliau sebagai penjaring terbanyak liga setakat ini dengan 15 gol manakala pemain kebangsaan Hanis Nadiah Onn meledak hatrik (minit ke-28, 34 dan 57) untuk muncul penjaring kedua terbanyak dengan lapan gol. Dua gol lagi dijaringkan oleh Nuraini Abdul Rashid (minit ke-27) dan Nurfara Firdayu Hamidy pada mnit ke-38.

Ketika Negeri Sembilan mudah mengatasi lawan, KPT-Uniten pula berhempas pulas dan menunggu sehingga suku ketiga sebelum dapat memecah kebuntuan, seterusnya menang tipis 1-0 ke atas Sabah.

Jaringan kemenangan Nurmaizatul Hanim Syafi Sheik Fuad pada minit ke-40 menghadirkan kelegaan buat pengendali pasukan Lailin Abu Hassan untuk memastikan pasukannya terus merapati pesaing utama Negeri Sembilan dalam memburu kejuaraan liga.

“Lega akhirnya menang hari ini dan dapat tiga mata penuh. Secara keseluruhan, pemain hilang konsentrasi terutamanya di bahagian serangan yang terlepas beberapa peluang keemasan.

Ini mungkin kesan jadual yang padat, beberapa pemain utama tidak beraksi. Kami terpaksa menurunkan pemain secara bergilir, akan perbaiki kelemahan untuk persiapan perlawanan seterusnya,” kata Lailin.

Dalam pada itu, perlawanan membabitkan Mutiara Impian-MSSPP-PSHA dan National Development Team (NDT) berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan.

ends

- Advertisement -