PENYERANG kebangsaan Faiz Helmi Jali memastikan TNB tidak berputih mata apabila menjaringkan gol penyamaan ketika seri 1-1 menentang Maybank pada perlawanan Liga Hoki Malaysia (Premier) di Stadium Hoki Nasional malam ini. 

Kedua-dua bekas juara liga itu terpaksa berpuas hati berkongsi satu mata selepas terikat dalam perlawanan yang menyaksikan TNB lebih banyak menguasai tempo perlawanan. 

Keputusan itu bermakna TNB kini tergelincir di tempat ketiga manakala Maybank jatuh satu tangga (ke-4) dan perlu memastikan kemenangan dalam dua perlawanan seterusnya untuk memastikan terus berada dalam kelompok empat teratas. 

Terengganu Hockey Team (THT) mengambil alih kedudukan di tempat kedua liga selepas menundukkan skuad muda TNB 3-2 Thunderbolts pada satu lagi perlawanan menarik. 

UniKL pula berada di landasan tepat dalam pemburuan piala kedua musim ini apabila terus mengungguli Liga selepas meraih mata penuh menumpaskan UiTM 3-0.  UniKL di tangga teratas dengan 13 mata (menang 4 dan seri 1 perlawanan). 

Maybank bermain baik  pada dua suku pertama dan berjaya menyerap tekanan bertali arus TNB yang membariskan lapan pemain kebangsaan. Maybank sebaliknya menggunakan taktik serangan kilat untuk memerangkap benteng TNB. 

Taktik itu nyata berhasil dengan kejayaan Maybank mendahului TNB menerusi jaringan padang Muhammad Syamim Naim Abd Hamid pada minit ke-24. 

Kedudukan tidak berubah sehinggalah masuk suku keempat apabila Maybank gagal menyekat jaringan penalti sudut ketua pasukan TNB, Faiz Helmi Jali pada minit ke-51. 

Menyedari hanya tiga mata penuh dapat mengukuhkan peluang masing-masing, TNB dan Maybank meningkatkan tempo permainan namun gagal mengubah keadaan. 

Pengendali TNB Nor Azlan Bakar nyata agak kecewa dengan kegagalan anak didiknya memanfaatkan peluang terbuka di depan gol Maybank. 

“Permainan suku pertama dan kedua agak mengecewakan tetapi kami bangkit pada suku ketiga dan keempat. Ternyata, kami lebih banyak mendapat peluang tetapi gagal melakukan penyudahan. Menang kita sasar tiga mata, tetapi apakan daya,” kata beliau yang mahukan pemain lebih fokus pada dua perlawanan penting selepas ini untuk memastikan kedudukan terbaik dalam liga. 

THT 3 – 2 TNB Thunderbolts

THT bernasib baik memastikan tiga mata apabila dipaksa berhempas pulas sebelum mampu mengetepikan tentangan skuad muda TNB Thunderbolts 3-2. 

Penyerang kebangsaan Faizal Saari menjadi penyelamat apabila menjaringkan gol kemenangan THT yang juga merupakan gol peribadi kelapan beliau dalam saingan liga setakat ini.

Thunderbolts sebelum itu memanfaat kelekaan THT yang membolehkan mereka menekan dan seterusnya membuka jaringan menerusi gol padang Muhammad Shahril ismail pada minit ke-20. 

Namun, THT bangkit menyamakan kedudukan menerusi jaringan padang Muhammad Noor Firdaus pada minit ke-21 sebelum Muhammad Arif Syafie Ishak meletakkan gergasi hoki Pantai Timur itu di depan selang dua minit kemudian. 

Thunderbolts sekali lagi menghukum kesilapan THT menerusi gol jaringan padang Muhammad Syahir Hasif Harun yang menyamakan kedudukan 2-2 pada minit ke-30. 

THT seharusnya lega melengkapkan perlawanan kelima mereka dengan tiga mata penuh apabila Faizal Saari berjaya membolosi gol Thunderbolts menerusi jaringan penalti sudut empat minit selepas separuh kedua bermula. 

Kemenangan itu meletakkkan THT di tangga kedua dan pengendali K. Rajan menyifatkan perlawanan terakhir menentang TNB minggu depan bakal menjadi penentu kejuaraan.

“Kita banyak melakukan kesilapan, Thunderbolts pula bermain aggresif manakala permainan kami agak longgar. Kami agak bernasib baik dapat membawa pulang tiga mata penuh malam ini,” kata Rajan. 

UniKL 3 – 0  UiTM HA

UniKL mengekalkan momentum untuk terus cermerlang dan mengungguli liga sebagai pendahulu selepas megetepikan cabaran UiTM 3-0 malam ini. 

Selepas buntu pada separuh masa pertama tanpa sebarang gol, UniKL mempamerkan penguasaan menekan UiTM dengan permainan pantas pada dua suku terakhir. 

Tiga minit selepas bermula separuh masa kedua, ketua pasukan Muhammad Marhan Jalil berjaya memecah kebuntuan dengan menerusi jaringan padang yang membolsi penjaga gol UiTM. 

Razie Rahim menjaringkan gol peribadi ketujuh beliau selepas meledak gol menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-44 manakala pemain senior Tengku Ahmad Tajuddin melebarkan jurang menerusi jaringan padang cantik pada minit ke 47, jaringan peribadi kedua beliau dalam saingan liga musim ini. 

Pengendali UniKL Megat Azrafiq Megat Termizi berkata pasukannya bermula perlahan tetapi berjaya bangkit semula pada separuh masa kedua untuk memastikan tidak hilang mata. 

“Fokus kami kini ialah untuk mengutip mata maksimum dari baki dua perlawanan menentang TNB Thunderbolts dan Maybank dan sememangnya keputusan seri antara Maybank dan TNB memberi sedikit kelebihan kepada UniKL malam ini,” kata beliau. 

Sabah 2 – 1 Nurinsafi HT/Sports

SABAH melakar kemenangan pertama meraih tiga mata penuh apabila menumpaskan Nurinsafi HT 2-1 pada perlawanan malam ini. 

Jaringan padang Syamim Yusuf memastikan kemenangan skuad negeri di Bawah Bayu itu sekaligus mengelak dari terperosok di tangga terbawah. 

Nurinsafi HT pula masih tercari-cari rentak kemenangan dan sehingga kini gagal mengutip sebarang mata selepas lima perlawanan.

Sabah membuka jaringan seawal minit ke-8 menerusi jaringan padang Mohamad Syafiq dan terus menekan Nurinsafi untuk menambah jaringan sehingga tamat separuh masa kedua. 

Sebaliknya, Nurinsafi mengejutkan Sabah dengan gol penyamaan Muhammad Syahmi Aiman Mat Jusoh pada minit ke-43 yang seakan memberi pasukan itu sedikit harapan untuk mengutip mata. 

Namun, Syamim Yusuf meranapkan impian Nurinsafi apabila menyempurnakan  peluang gerakan dalam kawasan D lawan untuk memastikan kemenangan mutlak Sabah. 

KEPUTUSAN PENUH:

Maybank 1 – 1 TNB

THT 3 – 2 TNB Thunderbolts

Sabah 2 – 1 Nurinsafi HT

UniKL 3 – 0  UiTM HA

JADUAL PERLAWANAN SETERUSNYA:

Selasa, 23 Mac 2021

UniKL mln TNB Thunderbolts (6 ptg) NHS 1

THT mln THN Nurinsafi HT (6 ptg) NHS 2

UiTM HA mln  TNB (8 mlm) NHS 1

Maybank mln Sabah (8 mlm) NHS 2 

- Advertisement -