Kejohanan TNB Liga Hoki Malaysia (TNB MHL) 2021 akan menjadi perlawanan sulung dilangsungkan mengikut kalender kejohanan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) dan perkara tersebut telah dimumkan oleh Jawatankuasa Pertandingan KHM, hari ini.
Kejohanan yang akan membuka tirai pada 14 Januari hingga 20 Februari bagi katagori lelaki dan 20 Januari hingga 20 Februari bagi kategori wanita itu akan dilangsungkan secara berpusat di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil di mana lapan pasukan akan berentap bagi kategori lelaki sementara enam pasukan bagi kategori wanita.
Saingan 2021 bakal menampilkan Sabah selaku muka baru bagi kategori lelaki selain tujuh pasukan musim lalu Terengganu Hockey Team (THT), Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Tenaga Nasional Berhad (TNB), TNB Thunderbolts, Maybank, Universiti Teknologi Mara (UITM) dan Nurinsafi HT akan merebut kejuaraan tahun 2021.
Sementara bagi saingan wanita pula, PKS Uniten – KPT, PDRM Blue Warriors, Mutiara Impian-MSSPP-PSHA dan Sabah merupakan empat pasukan musim lalu yang akan menerima cabaran daripada Young Tigress dan UniKL Ladies yang membuat penampilan kali pertama bagi musim 2021.
Berbeza dengan penganjuran tahun-tahun sebelumnya, musim 2021 akan memperkenalkan format perlawanan yang baru di mana ia dijalankan secara saingan liga satu pusingan dengan pasukan yang berada di tangga teratas liga akan muncul selaku juara liga.
Empat pasukan yang berada di kedudukan teratas liga pula akan meneruskan pemburuan Piala TNB 2021 bagi kategori lelaki dan Piala Vivian May Soars bagi kategori wanita di mana aksi separuh akhir akan dijalankan secara timbal balik bagi menentukan pasukan yang melangkah ke pentas final.
Terdahulu hari ini berlangsung satu pertemuan antara Pengerusi Jawatankuasa, Dato’ Sri Dr. Anil Jeet Singh bersama Pengarah Kejohanan, P. Kuganeson selain dua pembantunya A. Balakrishnan dan Noor Rafeah Daud.
Menurut Dato’ Sri Dr. Anil Jeet Singh, melihat kepada situasi penularan Pandemik Covid-19 ketika ini membuatkan beliau bersama barisan ahli jawatankuasanya memutuskan untuk mengubah format kejohanan pada musim 2021.
“Kami mengubah format kejohanan kepada liga satu pusingan dan secara berpusat di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil kerana ingin memastikan semua Prosedur Operasi Standard (SOP) dapat diikuti dengan sebaiknya selain memudahkan juga urusan pemantauan dijalankan.
“Kami juga tidak merancang untuk membawa masuk penonton bagi menyaksikan saingan liga di stadium kerana khuatir akan berlakunya sebarang masalah melibatkan pematuhan SOP. Bukan mudah untuk memastikan setiap penonton dapat mengikuti SOP yang ditetapkan dengan sebaiknya,” ujar beliau.