KEMENANGAN besar ke atas UiTM memastikan Tenaga Nasional Berhad (TNB) terus menghuni kedudukan teratas TNB LIga Hoki Malaysia (Premier) sekali gus meletakkan Terengganu Hockey Team (THT) dalam keadaan tertekan dengan saingan berbaki tiga perlawanan.

TNB meraih kemenangan besar 9-3 ke atas UiTM sekaligus memastikan kedudukan di puncak terus kekal dengan 24 mata keseluruhan.

THT, kini empat mata di belakang TNB, tidak turun beraksi hari ini dan akan turun menentang UiTM bagi perlawanan kesembilan mereka Ahad ini.

Kedua-dua TNB dan THT akan bertemu dalam perlawanan terakhir yang menarik pada Selasa 22 Mac ini dan dijangka menjadi penentu juara liga.

Nyata sekali, UiTM bagaikan kehilangan arah ditekan serangan bertali arus TNB yang menyaksikan Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan meledak dua gol (minit ke-9, ke-48) manakala Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal juga melakardua gol (minit ke 23, 26).

Sebelum itu, Mughni Muhammad Kamal yang membuka jaringan awal pada minit ke-5 turut menambah gol peribadi pada minit ke 57 manakala Nik Muhammad Aiman (minit ke-26), Muhammad Shahril Saabah (29) dan Muhammad Najib Abu Hassan (ke-56) menambah sengsara UiTM.

Jurulatih TNB, Nor Saiful Zaini berkata corak permainan pasukan kini semakin stabil manakala keyakinan pemain juga semakin mantap.

“Saya dapat lihat mereka mampu hadapi dan serap tekanan sekalipun sedar dengan misi muncul juara musim ini,” kata beliau.

Nor Saiful menjangkakan dua perlawanan terakhir liga menentang Maybank dan THT nanti bakal sengit kerana kualiti pasukan lawan yang seimbang.
“Kita tidak boleh tercicir mata dan akan pastikan sedaya upaya berjaya mengutip mata penuh dalam kedua-dua perlawanan itu nanti,” kata belau.

Dalam pada itu, Maybank bangkit dari kekecewaan tewas di tangan THT di Kuala Terengganu sebelum ini untuk meraih kemenangan besar 7-2 ke atas TNB Thunderbolts.

Jaringan hatrik pemain utama Maybank Muhammad Razie Rahim pada minit ke-25, 30 dan 49 selain dua gol sumbangan Amirulah Zainol pada minit ke 48 dan 55 membantu menjulang kekuatran Maybank.

Muhammad Izham Azhar (minit 36) dan Shafiq Hassan (ke-46) melengkapkan kemenangan besar Maybank yang berdepan tugas sengit menentang TNB pada Ahad ini.

“Secara keseluruhan, saya puas hati dengan semangat juang tinggi pemain yang bangkit dari kekecewaan di Kuala Terengganu. Memang tugas sukar menentang TNB tetapi dalam tempoh rehat dua hari ini, kami akan gunakan sepenuhnya untuk meneliti video dan merangka strategi sesuai,” kata jurulatih Azrul Effendi Bistamam.

Sementara itu, National Development Team (NDT) meraih kemenangan kedua apabila mengatasi Nurinsafi Sporting 5-4 dengan Perabu Tangaraja menyumbang dua gol (minit ke-14 dan 57).

Mohamad Nor Ismail Jamalis menjadi wira NDT apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-60 selepas kedua-dua pasukan terikat 4-4.

Saingan liga berakhir pada 22 Mac manakala separuh akhir Piala TNB bermula 25 Mac. Perlawanan akhir Piala TNB dijadualkan pada 31 Mac ini.

 

- Advertisement -