TENAGA Nasional Berhad (TNB) kekal menerajui TNB Liga Hoki Malaysia (Premier) 2022 selepas melengkapkan saingan pusingan pertama dengan kejayaan besar 8-1 ke atas Nurinsafi Sporting hari ini.

Muhammad Hafizhuddin Zaidi (minit ke-8, 51) dan Muhammad Amirul Hanif Mamat (minit ke-27, 49) masing-masing meledak dua gol untuk meletakkan TNB di puncak hasil kemenangan kelima bagi pasukan kendalian jurulatih Nur Saiful Zaini.

Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi terlebih dahulu membuka jaringan pantas pada minit pertama sebelum tiga lagi gol menyusul sumbangan Azril Misron (minit ke-26), Aminuddin Mohd Zain (minit ke-37) dan Norshafiq Sumantri (minit ke-59).

TNB kini menerajui kedudukan dngan 15 mata dari lima kemenangan dengan jumlah jaringan besar 38 gol.

Ia sekaligus menjadikan saingan bakal bertambah sengit, apatah lagi dengan Terengganu Hockey Team (THT) sentiasa menekan dan mengekori rapat TNB, dengan kutipan 14 mata keseluruhan selepas melakar kemenangan besar 7-0 ke atas National Debvelopment Team (NDT).

Penyerang kebangsaan Faizal Saari melengkapkan saingan pusingan pertama buat THT dengan ledakan empat gol (minit ke 8, 14, 21, 60) untuk meletakkan dirinya sebagai penjaring terbanyak liga dengan 15 gol setakat ini.

Skuad Pantai Timur kendalian Roslan jamaluddin itu merupakan satu-satu pasukan yang masih kekal bertahan tanpa kalah selepas enam perlawanan.

Kedudukan TNB di puncak belum boleh dianggap selamat dengan THT berada rapat di belakang dengan perbezaan hanya satu mata (14).

“Secara keseluruhan, selepas enam perlawanan tanpa kalah pada pusingan pertama, saya belum puas hati sepenuhnya sebab saya rasakan pemain mampu lakukan dengan lebih baik dalam beberapa perlawanan.

Kami akan perbaiki keadaan dan mahu pemain terus konsisten pada setiap perlawanan, dan akan terus mengejar TNB dan tidak boleh kehilangan ata berharga selepas ini,” kata jurultih THT Roslan Jamaluddin.

Dua pencabar utama lain – Maybank dan UiTM HA dilihat bakal mengiringi dua pasukan teratas itu ke separuh akhir yang bermula 25 Mac nanti.

Maybank melebarkan jurang mengatasi pesaing terdekat UiTM HA 4-2, untuk terus merapati THT dan TNB dengan perbezaan hanya satu (13) mata.

Muhammad Najmi Farizal Jazlan dua kali membolosi gawang UiTM HA pada minit ke-16 dan 28 untuk membantu kejayaan membantu Maybank.

Hafifihafiz Hanafi (minit ke-44) dan Mohamad Ashran Hamsani (minit ke-59) melengkapkan kemenangan Maybank.

UiTM HA kekal di tangga keempat dengan 10 mata dan pastinya, pertemuan menentang pasukan bawahan National Development Team pada Jumaat ini mahu dipergunakan sepenuhnya untuk memperbaiki kedudukan.

Saingan separuh akhir liga akan berlangsung mulai 25 Mac dan berakhir dengan final pada 31 Mac.

 

- Advertisement -