Hasrat Pahang untuk menggunakan khidmat tonggak pertahanannya, Afif Amiruddin dalam aksi final Piala FA menentang Selangor pada Sabtu ini mungkin tidak kesampaian kerana pemain itu masih belum cergas sepenuhnya dari kecederaan harmstring yang dialami sejak dua bulan lalu.
Hasrat Pahang untuk menggunakan khidmat tonggak pertahanannya, Afif Amiruddin dalam aksi final Piala FA menentang Selangor pada Sabtu ini mungkin tidak kesampaian kerana pemain itu masih belum cergas sepenuhnya dari kecederaan harmstring yang dialami sejak dua bulan lalu.
Afif yang dianggap ‘kereta kebal’ mengalami kecederaan tersebut ketika Pahang seri 2-2 menentang Kedah dalam aksi Liga Super di Stadium Darulmakmur pada 5 Mei dan baru kembali menjalani latihan penuh bersama rakan sepasukan kira-kira seminggu yang lalu.
Walaupun Pahang sudah belajar untuk ‘hidup’ tanpa pemain berpengalaman berusia 34 tahun itu sejak 10 perlawanan lalu, namun perlu diakui ketiadaan Afif memberi kesan ketara di bahagian belakang skuad bimbingan Dollah Salleh itu.
Mungkin ramai yang tidak tahu, Pahang sebenarnya tidak pernah tewas walau satu pun perlawanan yang Afif beraksi – dia bermain dalam sepuluh perlawanan dan membentuk gandingan cukup cemerlang bersama Mathew Davies-Safuwan Baharudin-Muslim Ahmad di benteng terakhir Pahang di mana mereka hanya bolos sebanyak lima gol sepanjang dia beraksi.
Namun selepas dia tersisih, Pahang tewas empat kali dan bolos sebanyak 12 kali dan ini jelas memperlihatkan betapa pentingnya kelibat pemain itu buat Dollah.
Hakikatnya ramai yang telah diuji oleh Dollah di pertahanan tengah Pahang antaranya Faisal Rosli, Zubir Azmi, Bunyamin Omar dan R.Dhinesh namun setakat ini belum ada yang benar-benar menyerlah dan memberikan keyakinan sepertimana ditunjukkan Afif.
Menentang Selangor diketuai Rufino Segovia yang sedang mengganas dengan mengumpul 23 jaringan musim ini dalam semua pertandingan, Dollah sudah tentunya pening untuk memikirkan siapakah yang perlu diberi tanggungjawab penting di jantung pertahanan. – OLEH MUHAMMAD AIMAN