Jepun melakar sejarah dilaman sendiri apabila meraih pingat emas dalam acara ping pong bergu campuran.
Tokyo Gymnasium Metropolitan menjadi saksi dimana hari ini merupakan pingat pertama dipertandingkan bagi sukan ping pong.
Malah kategori bergu campuran adalah pertama kali dipertandingkan di sukan Olimpik menjadikan lima pingat emas ditawarkan kesemuanya selain perseorangan lelaki, wanita serta kategori bergu lelaki dan wanita.
16 bergu mengesahkan penyertaan sehinggalah empat bergu terakhir kekal bertahan untuk memburu pingat.
Tumpuan pastinya terarah kepada dua bergu pilihan; Xu Xin-Liu Shiwen dari China turun selaku pilihan pertama menentang pilihan kedua tuan rumah, Mizutani Jun-Mima Ito untuk menentukan pasangan mana yang akan meraih emas pertama bagi acara bergu campuran.
Berdasarkan rekod, China tampak memiliki kelebihan kerana Xu Xin dan Shiwen cemerlang dalam saingan jelajah dunia manakala Mizutani bergantung harap kepada pengalaman yang dimiliki mima untuk menceriakan kem Jepun.
Dua set pertama menjadi milik China apabila melakar kemenangan 11-5, 11-7 dan tampak semakin yakin untuk memburu kemenangan di dua set seterusnya sekaligus meraih pingat emas.
Namun Jepun yang seringkali dikaitkan dengan semangat juang dan kesabaran yang cukup tinggi apatah lagi beraksi di laman sendiri membuktikan mereka masih belum mahu mengangkat bendera putih apabila mendominasi tiga set berikutnya.
Mizutani dan mima menang 11-8, 11-9,11-9 untuk mendahului China 3-2 sekaligus mengheret permainan ke set berikutnya.
Kedudukan cukup genting di set keenam apabila kedua dua bergu saling berkejaran mata dan terikat 4 sama pada satu ketika. Namun China memaksa bergu Jepun untuk melakukan unforce error sekaligus menang 11-6 untuk mengikat kedudukan 3 sama.
Di game penentuan, Jepun memberi tekanan yang cukup tinggi kepada Xu Xin-Liu Shiwen apabila mendahului 5-0 dalam masa 3 minit. Jun Mizutani dan Mima Ito memastikan kibaran bendera Jepun di atas podium selaku pemenang pingat emas apabila menutup set ketujuh dengan kemenangan 11-6.
Ini adalah pingat emas pertama Jepun dalam sukan ping pong sekaligus mengecewakan China yang cukup sinonim dengan dominasi sukan ini.