Jaguh trek negara, Azizulhasni Awang bakal beraksi di sukan Olimpik Tokyo 2020 dengan suntikan semangat yang cukup tinggi selepas dianugerahkan Darjah Kebesaran Negeri Terengganu yang membawa gelaran Datuk, hari ini.
Penganugerahan itu diumumkan menerusi kenyataan media Pejabat Sultan Terengganu dimana pelumba kelahiran Dungun itu tersenarai antara 10 penerima Darjah Kebesaran Datuk Paduka Mahkota Terengganu (DPMT) yang membawa gelaran Datuk.
Setiausaha Dewan Pangkuan Diraja Terengganu, Datuk Isa @ Ghazali Endut berkata, pengurniaan Bintang-Bintang Darjah Kebesaran Negeri Terengganu oleh Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin bagi tahun 2021 itu berkuatkuasa mulai hari ini.
Azizulhasni atau dikenali dengan ‘The Pocket Rocketman’ nyata tidak menduga dengan perkhabaran itu dan tidak pernah mengidamkan untuk mendapat gelaran itu.
Pelumba berusia 33 tahun itu bersyukur kepada Allah dan berterima kasi h kepada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, Kerajaan Negeri Terengganu dan Majlis Sukan Negeri Terengganu serta semua yang telah memberikan sokongan kepadanya sepanjang berada di dalam arena berbasikal trek.
Tambah Azizul lagi, ia bakal menjadi tonik semangat untuk memastikan misi menggenggam pingat emas di Tokyo 2020 menjadi kenyataan.