Saingan acara terjun di Sukan Olimpik Tokyo 2020 buat kem negara berakhir dengan tanpa sebarang pingat.
Penerjun negara, Pandelela Rinong yang menjadi atlet terakhir menamatkan saingan final 10M platform individu dikedudukan ke 12.
Beliau terdahulu mengesahkan slot final selepas berjaya menempatkan diri dalam senarai 12 penerjun yang layak ketika beraksi di peringkat separuh akhir disebelah pagi selepas mengumpul 315.75 mata untuk menghuni tangga ke 7 daripada 18 penerjun.
Aksi final yang berlangsung disebelah petang, Pandelela hambar diterjunan pertama apabila sekadar meraih 18.00 mata sekaligus berada di dasarkan kedudukan 12 penerjun yang beraksi di final.
Pemenang pingat gangsa dalam acara ini ketika di London 2012 cuba bangkit memperkemaskan teknik terjunan dan entry yang baik menamatkan kesemua lima terjunan dengan catatan keseluruhan 245.85 mata untuk berada di ranking ke 12.
Pingat emas dan perak sah milik China yang nyata mendominasi sukan terjun di Tokyo 2020.
Emas menjadi milik Quan Hongchan yang turut mencipta dua terjunan paling sempurna termasuk diterjunan terakhir untuk meraih mata bersih 10.0 mata daripada kesemua juri.
Catatan keseluruhan 466.20 Hongchan gagal dicabar rakan senegara Chen Yuxi yang memburu pingat emas kedua apabila menamatkan saingan dengan catatan 425.40 mata.
Manakala gangsa menjadi milik Melissa Wu dari Australia yang mengumpul 371.40 mata.
Acara terjun akan melabuhkan tirainya pada Sabtu menerusi acara 10M platform lelaki individu.