Pengumuman tarikh baru penganjuran temasya Olimpik Tokyo 2020 secara amnya memberi kelegaan kepada semua komuniti sukan di seluruh dunia kerana sedia maklum, secara logik, ia tidak mungkin dapat direalisasikan pada tahun ini selepas mengambil kira pelbagai faktor.
Selain pandemik Covid-19 yang meresahkan global, kesan yang cukup jelas adalah atlet, pegawai dan pasukan ‘kehilangan’ kejohanan antarabangsa yang menawarkan mata ranking atau kelayakan ke Olimpik secara merit.
Namun disebalik kegembiraan ini, ada juga segelintir atlet yang merasakan tekanan berganda bakal dilalui sepanjang tempoh 12 bulan mendatang.
Bagi ratu terjun negara, Pandelela Rinong, kerja keras selama 4 tahun telah dirangka untuk tahun 2020, namun terpaksa menanti setahun lagi.
Situasi ketika ini jelas sekali berbeza dengan perancangannya, namun terpaksa akur dan menerima perubahan yang telah berlaku.
“Kebiasaannya ketika ini, saya akan berada di luar negara (kebiasaannya China) untuk persiapan bagi menghadapi Kejohanan Terjun Piala Dunia, acara terakhir sebelum Olimpik bermula.
“Situasi telah berubah, saya ada merasakan tekanan kerana perancangan untuk masa depan juga terjejas. Ramai juga atlet yang turut bimbang seperti saya kerana ada mereka telah melakukan persiapan yang lama.
“Mereka mungkin terjejas mental dan fizikal. Tetapi saya juga gembira kerana kesihatan dan keselamatan turut penting untuk atlet dan memberi peluang kepada kami untuk memperbaiki kekurangan,”kata Pandelela.
Ratu gimnas negara, Farah Ann Abdul Hadi juga turut berkongsi suka dan dukanya kerana telah memerah keringat selama empat tahun untuk menanti detik Julai 2020.
Namun beliau pasrah dengan apa yang telah berlaku dan mahu terus fokus untuk menghadapi sukan Olimpik yang akan berlangsung tahun depan.
“Saya sedikit kecewa diawalnya kerana perancangan telah dilakukan demi olimpik yang sepatutnya berlangsung pada Julai.
“Namun dengan keputusan yang tidak menentu samada ditunda atau dibatalkan, ia menganggu mental saya pada satu ketika,”kata Farah Ann.