Jaguh perseorangan negara, Lee Zii Jia memastikan namanya berada di pusingan kalah mati selepas mengesahkan status selaku juara Kumpulan M saingan peringkat kumpulan.
Zii Jia nyata tidak berdepan masalah untuk melakar kemenangan kedua, menundukkan pemain Perancis, Brice Leverdez pada perlawanan lewat petang ini untuk menerajui carta kumpulan M.
Hanya 35 minit diperlukan Juara All England 2021 ini untuk melakar kemenangan straight set 21-17, 21-5 sekaligus bakal membuat perhitungan dengan juara bertahan dari China, Chen Long untuk perebutan ke peringkat suku akhir.
Chen Long muncul juara kumpulan N selepas menang straight set 21-11, 21-10 ke atas wakil Sepanyol, Pablo Albian.
Dalam pada itu, hasrat untuk melihat satu lagi wakil negara ke peringkat kalah mati tidak kesampaian.
Perseorangan wanita, Soniia Cheah gagal melakar kejutan untuk menewaskan pilihan kelima dari Thailand, Ratchanok Intanon dalam aksi terakhir peringkat kumpulan N pada perlawanan disebelah pagi.
Soniia turun dengan status underdog bagaimanapun mengejutkan Intanon di set pertama apabila menang 21-19, namun pemain Thailand itu bangkit dengan aksi yang aggresif untuk mendahului 8-1 pada satu ketika.
Namun Soniia bangkit untuk merapatkan jurang 7-8, tetapi semangat yang ditunjukkan belum mampu untuk memudarkan semangat juang Ratchanok yang menang 21-18 di set kedua.
Biarpun cuba bangkit untuk memberi tekanan, kecederaan buku lali yang dialami Soniia ketika dipertengahan set ketiga mengganggu rentak permainannya sekaligus terpaksa akur untuk tewas 10-21 sekaligus gagal ke peringkat kalah mati.