Isu jurulatih terjun negara Yang Zhuliang yang tidak disambung menjadi topik utama media massa selepas rentetan atlet negara gagal ujian doping.
Kritikan terus dilontarkan kepada pihak tertentu tanpa penjelasan yang telus daripada pelbagai pihak.
Tidak dinafikan sejak Yang Zhuliang datang ke Malaysia untuk mengemudi atlet terjun negara sejak 2008 nyata memberi impak yang cukup mendalam khususnya sukan terjun di Malaysia.
‘From zero to hero’, Zhuliang ‘menghasilkan’ bakat terbaik dan sukan terjun dilabel sukan yang cemerlang bersama sama berbasikal trek dan badminton.
Yeoh Ken Nee, Leong Mun Yee, Bryan Nickson Lomas Pandelela Rinong, Cheong Jun Hoong, Nur Dhabitah Sabri, Wendy Ng Yan Yi, Ahmad Amsyar Azman antara atlet yang sedang meningkat naik dibawah kendalian pengendali berusia 51 tahun itu.
Keputusan untuk menentukan status seseorang jurulatih dibuat secara kolektif melibatkan Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN) Persatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM), barisan pengurusan Program Podium dan organisasi yang mengetuai sektor sukan di Malaysia, Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Penilaian terhadap jurulatih samada akan disambung kontraknya ataupun sebaliknya sudah pun dilakukan beberapa bulan lalu.
Penilaian tidak hanya membabitkan pencapaian, sistem latihan, program dan perancangan semata mata, malah persatuan bahkan atlet juga akan terlibat sama dalam proses ini.
Kata putus terakhir akan diberikan oleh menteri bertanggungjawab selepas mendapat maklumat, cadangan dan perbincangan berdasarkan laporan penilaian yang telah dibuat.
Sistem latihan yang digunakan Yang Zhuliang secara keseluruhannya tidak menampakkan banyak kekurangan.
Namun, seperti yang dilaporkan media tempatan, kaedah latihan tradisional selain enggan menerima sains sukan antara faktor yang menjadi punca kepada keputusan untuk tidak menyambung kontraknya dalam skuad elit.
Kontrak Yang Zhuliang dijadual tamat pada 31 Disember ini dan ditawarkan kontrak sebagai jurulatih skuad pembangunan, namun ditolak.
Teknik latihan yang diterapkan Yang Zhuliang seperti yang dilakukan oleh kuasa besar sukan terjun dunia iaitu China.
Namun, dari satu sudut, jika kaedah ‘tradisional’ ini digabungkan dengan teknologi sains sukan dan perubatan yang terkini, kita mungkin berpeluang untuk melihat kilauan pingat perak atau emas di sukan Olimpik akan datang.
Samada sedar atau tidak, dua penerjun negara Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoong seringkali dihantui kecederaan lama sekaligus menyukarkan perancangan mereka terhadap persiapan khususnya memburu slot ke Sukan Olimpik Yokyo 2020.
Kecederaan yang dialami atlet negara kebanyakannya memerlukan pemerhatian secara berterusan dan kaedah rawatan yang tepat bagi mengelakkan kecederaan berulang.
Disinilah peranan ISN dalam menyediakan tenaga pakar dan rawatan yang terbaik kepada atlet berkenaan.
Tidak hanya menumpukan rawatan, proses pemulihan juga memainkan peranan yang penting untuk memastikan kecederaan tersebut sembuh sepenuhnya dan kecergasan atlet dikekalkan paada masa yang sama.
Semua pihak perlu tahu, Malaysia tidak mempunyai bakat atau pelapis yang ramai dan agak sukar untuk kita melihat pengganti atlet elit yang cemerlang seperti Pandelela, Jun Hoong, Dhabitah dan sebagainya dalam tempoh yang singkat.
Justeru, mengekalkan atlet semasa dengan sebaiknya perlu menjadi keutamaan MSN, ISN serta KBS menerusi program dan kepakaran yang terbaik.
China tidak boleh dijadikan contoh secara keseluruhan, kerana negara tersebut mempunyai pelapis yang cukup ramai untuk diketengahkan.
Persaraan mengejut pemenang pingat emas lima kali di Sukan Olimpik, Chen Ruolin dikala usianya yang baru 25 tahun kerana kecederaan leher mungkin boleh dijadikan salah satu penunjuk arah tentang sistem yang digunakan di China.
Rawatan tradisional masih relevan untuk atlet, namun Yang Zhuliang juga tidak boleh mengetepikan perubatan moden.
Zhuliang masih menjadi aset penting negara kerana beliau mempunyai karakter untuk membantu Malaysia dalam misi menamatkan kemarau pingat emas di pantas Olimpik.
Samada pencapaian atau masa depan atlet menjadi keutamaan pihak terbabit, jangan sampai atlet menjadi mangsa keadaan.
Selain bolasepak, dan badminton, atlet Malaysia hanya berstatus sementara, justeru, masa depan bergantung kepada diri mereka sendiri.