Bintang Indonesia, Tommy Sugiarto menafikan hasrat Ampang Jaya BC untuk mencipta kejutan ke atas Muar City BC dan membawa pasukannya semakin hampir untuk mempertahankan kejuaraan Resorts World Genting Purple League 2015 yang semakin menghampiri kemuncaknya.
Muar City buat pertama kalinya bermula dengan tewas dua perlawanan awal membabitkan acara perseorangan lelaki dan wanita, menyaksikan mereka ketinggalan 2-6 pada satu ketika namun bangkit menterbalikkan keputusan dengan Tommy mengesahkan kemenangan 11-6 buat Muar City dengan menewaskan Goh Giap Chin.
Pemain nombor 11 dunia itu menewaskan Giap Chin 3-0 (11-7, 11-6, 11-8) dalam masa 28 minit sekaligus membolehkan Muar City kini unggul di kedudukan teratas liga dengan beza 88 perlawanan.
Pengurus pasukan, Huan Woon Han mengakui sedikit terkejut dengan permulaan hambar pasukannya tetapi menafikan pasukannya mengambil mudah cabaran Ampang Jaya dan berpendapat pasukannya kini memiliki kelebihan besar untuk mempertahankan kejuaraan.
“Sedikit terkejut kerana permainan kami pada hari ini banyak beza. Kedua-dua perseorangan lelaki dan wanita tidak memuaskan. Fikri memang bermain dalam kesakitan, kukunya tercabut dan gerakan terbatas, tetapi perseorangan wanita tewas 3-0 dan ini tidak pernah berlaku.
“Apapun kita bangkit dan menang dengan beza lima mata. Sekarang kita sudah ada 88 mata jadi kita sudah hampir pertahan kejuaraan. Saya tidak mahu pemain leka kerana baki tiga perlawanan apa sahaja boleh berlaku. Kita akan sedaya upaya cuba untuk menang semua perlawanan dan muncul juara sekali lagi,” ujar Woon Han.
Ampang Jaya terlebih dahulu menghidupkan mimpi indah apabila mencatat kemenangan dalam dua aksi perseorangan yang pertama. Lee Cheuk Hyu menghadiahkan Fikri Ihsandi Hadmadi kekalahan pertama dalam saingan Purple League apabila bangkit dari kekalahan set pertama untuk menang 3-2 (7-11, 11-8, 11-7, 8-11, 11-7).
Ho Yen Mei memastikan Ampang Jaya terus ceria menerusi kemenangan 3-0 ke atas Kim Mun Hee namun Muar City kembali kepada prestasi sebenar mereka apabila gandingan beregu campuran Chan Peng Soon/Lee Hyo Jung menang 3-0 untuk merapatkan kedudukan kepada 5-6.
Beregu lelaki, Tan Boon Heong/Tan Wee Keong seperti dijangka tidak berdepan masalah besar untuk turut mencatat kemenangan 3-0 dan membolehkan Muar City mendahului perlawanan buat pertama kali sebelum Tommy mengetepikan cabaran Giap Chin untuk kemenangan kelapan berturut-turut buat pasukan dari Johor itu.
Baki tiga perlawanan yang akan diharungi oleh Muar City adalah menentang tiga pencabar terdekat mereka – Petaling (2 Januari), Cheras (5 Januari) dan Puchong United (10 Januari).