tengku.abdullah

Oleh Muhammad Aiman

Jutawan penerbangan Malaysia, Tan Sri Tony Fernandes bersedia mempertimbangkan kemungkinan untuk menggantikan Tengku Mahkota Pahang (TMP), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) seandainya ditawarkan mengisi ‘kerusi panas’ itu. 

Dalam satu kenyataan ringkas ketika ditemuramah sebuah stesen televisyen tempatan selepas Majlis Meraikan Wira Asia Tenggara di Olimpik Rio De Janeiro 2016, Tony yang juga pemilik kelab Liga Kejuaraan Inggeris, Queens Park Rangers berkata, “Jika mereka (FAM) mahu, saya akan mempertimbangkannya.”  

Dengan TMP yang memegang jawatan presiden sejak 2014 sudah jelas menyatakan hasratnya untuk berundur, Tony, ketua pegawai eksekutif Kumpulan Air Asia menjadi pilihan untuk menapak menerajui FAM apabila badan induk bolasepak tanah air itu mengadakan kongres pemilihan kepimpinan baru yang diawalkan ke tahun hadapan.

Selain TMP, kesemua exco lain juga dijangka melepaskan jawatan mereka sebagai rasa tanggungjawab di atas kegagalan mengangkat imej dan kualiti bolasepak negara sebaliknya berterusan dipalit aib di pentas antarabangsa. 

Antaranya kekalahan terbesar dalam sejarah 0-10 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2018 tahun lalu serta ranking yang menjunam ke kedudukan 174 dunia pada April baru-baru ini.

Tony merupakan individu pertama menyatakan secara terbuka mengenai keinginan untuk menerajui FAM, setelah Tengku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang tewas dengan beza 15 undi pada 2014 dan turut disebut-sebut sebagai calon berkelayakan dilaporkan tidak berminat mencabar jawatan itu. 

Penglibatan Tony dalam arena sukan bukanlah sesuatu yang baru, selain QPR dia juga turut pernah memiliki pasukan Formula One, Lotus Racing.

Sementara itu, ranking terbaru dikeluarkan FIFA menyaksikan Malaysia kekal di kedudukan 167 dunia dan keenam di rantau Asia Tenggara.

Thailand kekal sebagai pasukan terbaik rantau ini apabila melonjak satu anak tangga ke kedudukan 120, diikuti Filipina (134), Vietnam (138) serta Singapura dan Myanmar masing-masing di kedudukan 159.

Indonesia yang meraikan kembalinya mereka ke pentas antarabangsa dengan penuh bergaya setelah menundukkan Malaysia 3-0, kekal di tangga ke-191.

- Advertisement -