PENGANJUR PETRONAS Le Tour de Langkawi 2023 (LTdL), Majlis Sukan Negara (MSN) hari ini memperkenalkan satu lagi penaja utama, Tourism Malaysia yang akan menaja jersi Raja Bukit bagi saingan LTdL yang akan bermula di Kerteh, Terengganu, 23 September ini.

Ketua Pengarah MSN, Dato’ Ahmad Shapawi Ismail berkata, kehadiran Tourism Malaysia dengan jenama ‘Malaysia Truly Asia’ akan memeriahkan lagi perjalanan perlumbaan berstatus ProSeries selama lapan hari itu, selain mempromosikan sektor pelancongan sukan negara.

“KBS amat berterima kasih dengan Tourism Malaysia, yang bukan saja tampil dengan tajaan RM1 juta, tetapi juga pelbagai program promosi seperti persembahan tradisional di semua venue pelepasan, jemputan ‘influencer’ dari luar negara dan pelbagai promosi dalam dan luar negara bagi memastikan LTdL dapat dianjurkan dengan lebih meriah dan sempurna.

“Jadi Tourism Malaysia diberikan penghormatan sebagai penaja bagi kategori pendahulu ‘King Of The Mountain’ di mana wakil mereka akan menyarungkan jersi pemenang di setiap peringkat perlumbaan,” katanya ketika berucap di majlis pengumuman rasmi di Kompleks Sukan Negara di Bukit Jalil, hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Dato’ Dr Ammar Abd Ghafar.

Ahmad Shapawi berkata, kategori Raja Bukit sememangnya amat unik dan popular dalam banyak perlumbaan besar seperti Tour de France, Giro d’Italia dan Vuelta a Espana di mana pendaki terbaik pelbagai pasukan bukan saja bersaing hebat di kawasan berbukit yang tinggi, malah cuba membuat strategi untuk meloloskan diri bagi mengutip dan mengumpul mata bagi kategori itu.

“Sama juga yang berlaku di LTdL di mana untuk mengungguli jersi polka dot tajaan Tourism Malaysia ini, pelumba perlu mengutip mata secukupnya sebelum cabaran terbesar di Genting Highlands (Peringkat 5).

“Di sinilah perhatian peminat tempatan akan tertumpu kepada pelumba negara yang mewakili Terengganu Polygon Cycling Team, Muhammad Nur Aiman Zariff yang sebelum ini menggunakan kebijaksanaannya mengumpul mata di zon pendakian mudah dan berusaha menempatkan diri dalam kelompok terbaik ketika mengungguli kategori Raja Bukit dalam LTdL 2020 dan 2022,” katanya lagi.

Menurutnya, KBS pasti dengan ruang promosi yang diberikan menerusi siaran langsung di penyiar sukan berbasikal nombor satu dunia, Eurosports yang ditonton ratusan juta peminat, selain siaran di televisyen tempatan dan platform media sosial Youtube dan TikTok, ia mampu memberikan pulangan berlipat kali ganda daripada jumlah tajaan yang diberikan.

Beliau berkata, program promosi seperti perarakan Calvacade dan acara sampingan yang membawa jenama Tourism Malaysia akan dekat di hati rakyat tempatan untuk terus memilih destinasi percutian di dalam negara.

Sementara itu, Dr Ammar berkata, LTdL bukanlah sesuatu yang baru bagi Tourism Malaysia kerana agensi berkenaan sudahpun bersama sejak awal penganjuran pada 1996 lagi.

“Keputusan penajaan kami ini adalah berdasarkan kepada keseluruhan pakej pulangan penajaan yang cukup lengkap, khasnya peluang untuk mempromosikan jenama ‘Malaysia Truly Asia’ ke seluruh dunia, bukan saja terhad kepada tarikan pelbagai budaya, lokasi dan pusat pelancongan tetapi juga menampilkan Malaysia yang makmur, maju dan progresif bagi membantu Kerajaan menarik minat pelaburan dan perdagangan antarabangsa ke negara kita.

“Kami juga menghargai peluang yang diberikan pihak penganjur sebagai penaja utama dengan hak pemegang jersi polka dot kerana pendahulu kategori Raja Bukit ini amat popular di setiap Grand Tour, dan pendakian ke Genting Highlands juga mendapat pengiktirafan sebagai antara pendakian yang sukar di dalam perlumbaan berbasikal dunia,” katanya.

Beliau berkata, selain tajaan tunai, Tourism Malaysia juga komited membantu mempromosi LTdL dengan menyediakan persembahan kebudayaan tradisional di setiap lokasi pelepasan, selain membawa influencer terkenal dari Indonesia di beberapa lokasi perlumbaan bagi mempromosikan LTdL dengan lebih kreatif dan meluas di negara jiran itu.

Dengan tema ‘Beat The Heat’, LTdL 2023 yang dianjurkan KBS menerusi MSN dengan kerjasama Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) akan bermula dengan Peringkat 1 di Kerteh, Terengganu dan melewati 11 daripada 12 negeri di Semenanjung sebelum berakhir dengan Peringkat 8 di pekarangan mercu tanda ikonok Menara Berkembar PETRONAS (KLCC) pada 30 September.

Sebanyak 22 pasukan, iaitu dua pasukan berstatus WorldTeam, lapan pasukan ProTeam, 11 pasukan Continental dan pasukan kebangsaan Malaysia akan bertanding.

 

SENARAI PASUKAN LTDL 2023

BIL. PASUKAN KATEGORI NEGARA DIDAFTARKAN
1. ASTANA QAZAQSTAN TEAM UCI WORLD TEAM KAZAKHSTAN
2. EF EDUCATION-EASYPOST UCI WORLD TEAM USA
3. CAJA RURAL-SEGUROS RGA UCI PROTEAM SEPANYOL
4. EQUIPO KERN PHARMA UCI PROTEAM SEPANYOL
5. EUSKALTEL – EUSKADI UCIPROTEAM SEPANYOL
6. GREEN PROJECT – BARDIANI CSF – FAIZANE UCI PROTEAM ITALI
7. TEAM CORRATEC – SELLE ITALIA UCI PROTEAM ITALI
8. HUMAN POWERED HEALTH UCI PROTEAM USA
9. TUDOR PRO CYCLING TEAM UCI PROTEAM SWITZERLAND
10. BOLTON EQUITIES BLACK SPOKE PRO CYCLING UCI PROTEAM NEW ZEALAND
11, TERENGGANU POLYGON CYCLING TEAM UCI CONTINENTAL MALAYSIA
12. 7ELEVEN CLIQQ – AIR21 BY ROADBIKE PHILIPPINES UCI CONTINENTAL FILIPINA
13. NUSANTARA CYCLING TEAM UCI CONTINENTAL INDONESIA
14. HENGXIANG CYCLING TEAM UCI CONTINENTAL CHINA
15. LI NING STAR UCI CONTINENTAL CHINA
16. GIANT CYCLING TEAM UCI CONTINENTAL CHINA
17. ST GEORGE CONTINENTAL CYCLING TEAM UCI CONTINENTAL AUSTRALIA
18. KSPO PROFESSIONAL UCI CONTINENTAL KOREA SELATAN
19. JCL TEAM UKYO UCI CONTINENTAL JEPUN
20. ROOJAI ONLINE INSURANCE UCI CONTINENTAL THAILAND
21. THAILAND CONTINENTAL CYCLING TEAM CONTINENTAL THAILAND
22. MALAYSIA NATIONAL TEAM CONTINENTAL KEBANGSAAN

 

- Advertisement -