Berbaki 14 hari sebelum berlangsungnya Sukan Sea Kuala Lumpur 2017, Institut Sukan Negara mengambil langkah mewujudkan Team MAS Performance Center (TPC) bagi memenuhi segala keperluan atlet-atlet yang akan bertanding di temasya itu.
Kemudahan disediakan TPC yang berpusat di Hotel Renaissance merangkumi aspek makanan, pemeriksaan kesihatan, hiburan, kecantikan serta klinik bagi rawatan pemulihan asas seperti fisio dan masaj selepas menjalani latihan.
Menurut Ketua Pusat Sains Sukan ISN, Mohd Qusyairy Ajmain Mohd Amin, TPC akan beroperasi sepanjang berlangsungnya KL2017 bagi memastikan kebajikan atlet sentiasa terjaga selain membolehkan mereka fokus kepada persiapan tanpa sebarang gangguan.
Sementara itu, Timbalan Ketua Kontijen KL2017, Dato’ Jeffri Ngadirin berkata dengan adanya TPC akan dapat membantu atlet-atlet untuk bebas tekanan dan berada pada tahap kesediaan mental lebih baik kerana tidak perlu keluar dari hotel penginapan untuk mendapatkan semua kemudahan tersebut.
Wakil-wakil media turut dibawa meninjau segala kemudahan disediakan TPC pada Sabtu. – OLEH MUHAMMAD AIMAN