KELANTAN terpaksa berhempas pulas sebelum berjaya menjinakkan Sabah dengan kemenangan tipis 2-1 bagi melayakkan diri ke suku akhir saingan Piala FA di Stadium Sultan Muhammad IV tadi.
Penyerang gantian, Ahmad Shakir Ali menjadi penyelamat The Red Warriors (TRW) apabila muncul menjaringkan gol kemenangan tuan rumah di penghujung perlawanan.
Kelantan bermula garang apabila mengasak kubu Sabah seawal minit ke-5 menerusi gerakan Tengku Hasbullah Raja Hassan yang melorongkan bola kepada penyerang import Mohamed Ghaddar, namun percubaan pemain dari Lubnan itu sedikit tersasar ke kiri gawang.
Minit ke-13, tuan rumah terus mengasak, kali ini menerusi pemain tengah Mesir, Mohamed Shawky Aly yang merembat kencang dari luar kotak penalti. Namun, percubaannya itu sekadar menggegarkan palang gol.
Tiga minit berselang, giliran pelawat mengatur serangan balas menerusi penyerang muda, Rozaimi Abdul Rahman yang melakukan percubaan dari luar kotak penalti yang tersasar ke kiri gawang.
Minit ke-22, Rozaimi sekali lagi berpeluang untuk meletakkan Sabah di depan, namun rembatan kencangnya dalam kotak penalti melewati palang gol.
Bagaimanapun, di hujung babak pertama, tuan rumah berjaya memecah kebuntuan apabila Shawky bijak menolak masuk bola ke dalam gawang ketika berlaku kekalutan di dalam kotak penalti pasukan Sabah, sekaligus meletakkan TRW berada di depan sehingga tamat babak pertama.
10 minit selepas babak kedua bermula, Sabah berjaya menyamakan kedudukan menerusi jaringan ketua pasukan, Rosdin Wasli yang dapat menolak masuk bola dari sepakan percuma Mitrovic Srecko.
Pada minit ke-72, Shakir berpeluang menjaringkan gol kedua Kelantan selepas menerima hantaran lintang Mohd Badhri Radzi, namun percubaannya tidak menemui sasaran.
Shakir sekali lagi mensia-siakan peluang terhidang pada minit ke-82 untuk meletakkan Kelantan di depan apabila gagal menyudahkan umpanan Ghaddar di dalam kotak penalti.
Bagaimanapun peluang ketiga yang diperolehi Shakir di hujung perlawanan dimanfaatkan sepenuhnya oleh pemain berkenaan, apabila merembat kencang bola muntah dari dakapan penjaga gol Sabah, Irwan Jamil bagi memastikan kemaraan Kelantan di dalam Piala FA.
Untuk memberi maklum balas, sila emelkan kepada editor@sports247.my