Oleh Ku Mohd Lufti
Hampir sebulan berkelana di Australia, pakar pecut negara yang beraksi bersama pasukan Terengganu Pro Asia Cycling, Anuar Manan memberi bayangan TSG bakal menganas dalam saingan jelajah berbasikal Le Tour de Langkawi yang akan bermula penghujung Februari depan.
Jelas Anuar, latihan dibawah kendalian Jeremy Hunt sepanjang di Australia mempunyai kelainan tersendiri.
“Latihan dia (Jeremy Hunt) macam jurulatih lain juga, tetapi program yang dia sediakan lebih maju dan seperti latihan untuk pelumba pro.
“Sesi latihan kami bersifat aggresif dan memfokuskan aspek kepantasan, ketahanan fizikal dan bertindak secara professional sebagai satu pasukan.” Kata Anuar.
Tambahnya lagi, Jeremy masih belum memberi bayangan siapakah enam pelumba yang akan menggalas tugas di LTdL 2017 yang akan bermula dari 21 Februari hingga 1 Mac melibatkan jarak keseluruhan 1225 Kilometer.
Berdasarkan latihan yang dikendalikan Jeremy, Anuar tampak optimis TSG akan meraih podium selain memberi cabaran sengit dalam perebutan jersi kuning.
Peringkat pertama perlumbaan LTdL 2017 akan berlangsung di Terengganu dan tamat di Putrajaya.
Laluan bagi LTdL 2017 sebelum ini berdepan kontroversi apabila kerajaan negeri Terengganu meluahkan kekecewaan susulan laluan asal yang dirancang oleh pihak penganjur di negeri itu dikeluarkan.
Namun Terengganu dimasukkan semula seperti perancangan awal selepas kedua dua pihak mengadakan perbincangan.