Oleh Ku Mohd Lufti
Selepas gagal melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2016 Rio de Janeiro menerusi acara lumba berbasikal lebuh raya, pasukan berstatus benua, Terengganu Cycling (TSG) mula memasang impian untuk mengumpul mata bermula tahun ini bagi memastikan sasaran untuk berkayuh di Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Ketua Pegawai Operasi TSG, Nasiruddin Wan Idrus menjelaskan, bagi merealisasikan misi tersebut, TSG perlu sekurang kurangnya menghuni tangga ke empat keseluruhan dalam ranking professional.
“Untuk tahun ini, kita sasarkan untuk berada di kedudukan lima teratas dan tahun depan (2018) kita letakkan sasaran di kedudukan empat teratas.
“Hampir 80 ke 90 peratus mata kelayakan untuk Malaysia bagi melayakkan diri ke sukan Olimpik datang dari pasukan TSG,” kata Nasiruddin.
Malah, dalam setiap perlumbaan, Nasiruddin mengharapkan pelumba pelumba yang dipilih untuk menyertai mana mana perlumbaan untuk sekurang kurangnya meraih satu kemenangan peringkat bagi mendapatkan mata kelayakan.
Sasaran terdekat adalah di jelajah lumba berbasikal, Jelajah Filipina (18 – 21 Februari) dan Le Tour De Langkawi (22 Februari hingga 1 Mac).
Senarai penuh pelumba yang akan didaftarkan untuk menyertai Jelajah Filipina dan LTDL 2017 hanya akan diketahui awal Februari
“Bagi saingan LTDL tahun ini yang bertaraf 2HC, kita meletakkan sasaran dua pelumba untuk berada di kedudukan 30 terbaik bagi kategori individu untuk mengumpul mata kelayakan olimpik semaksima yang boleh.
“Malah kita sasarkan sekurang kurangnya satu podium dan mempertahankan jersi putih (pelumba terbaik Asia),” katanya lagi.
Sebagai persiapan awal, kesemua pelumba tempatan dan import akan berkelana di Australia selama sebulan setengah untuk menjalani latihan pusat, termasuk menyertai pertandingan yang akan ditentukan oleh Jeremy Hunt kelak.