Pasukan nombor satu benua Asia, Terengganu Inc Cycling Team (TSG) bertekad mahu menyambung kecemerlangan mereka apabila edisi ke-25 Petronas – Le Tour de Langkawi 2020 (LTdL) membuka tirai saingannya pada 7 hingga 14 Februari depan.
Cemerlang dengan kejayaan pelumba kelahiran Russia, Artem Ovechkin memenangi jersi kuning individu keseluruhan pada 2018, diikuti kemenangan peringkat pakar pecut Mohd Hariff Salleh di Melaka pada tahun lalu, pasukan itu berhasrat mencipta kejayaan lebih bermakna pada penganjuran kali ini, menepati statusnya sebagai pasukan nombor satu dalam kalendar Jelajah Asia UCI.
Biarpun belum menyenaraikan enam pelumba terakhirnya untuk jelajah terulung Asia itu, TSG dijangka akan terus membariskan Harrif dan Ovechkin pada LTdL 2020 ini, selain kapten pasukan yang juga pembantu untuk menarik Harrif ke depan, Mohd Zamri Salleh.
Jurulatih TSG dari Australia, Jeremy Hunt dijangka akan turut mempertaruhkan kepantasan pelumba pecutnya dari Algeria, Yousef Reguigui di laluan landai manakala Morey Drew (Australia), Metkel Eyob (Eritrea) dan juara kebangsaan Malaysia Nur Amirul Fakhruddin Mazuki dijangka dipertimbangkan untuk membantu Ovechkin dalam pemburuan jersi kuning.
Ketua Pegawai Operasi TSG, Nasirudin Wan Idrus berkata skuad enam pelumba ke LTdL 2020 sekarang berada di Melbourne, Australia hingga 3 Februari untuk mencari rentak dan memanaskan badan dalam beberapa perlumbaan di negara itu.
Biarpun tidak menyatakan sasaran untuk edisi ke-25 LTdL ini, Nasiruddin berkata TSG akan cuba menyambung kecemerlangan yang diukir pasukan itu pada dua edisi lalu, selain mengatur strategi peringkat demi peringkat untuk menghadapi cabaran sengit sepanjang lapan hari saingan LTdL 2020.
“Kami gembira menjadi pasukan benua terbaik di dunia dan akan berusaha mengekalkan posisi itu pada tahun ini, di samping terus mengharumkan nama TSG di pentas antarabangsa.
“Kejayaan ini semua adalah berkat kepercayaan berterusan daripada kerajaan negeri Terengganu dan penaja-penaja yang sentiasa memberi sokongan berterusan,” katanya.
Pada penghujung musim 2019, TSG mengumpul 2,658 mata dalam senarai ranking berpasukan UCI, untuk berada di tangga teratas senarai pasukan benua Asia dan ke-28 di dunia.
Edisi ke-25 LTdL 2020 akan membababitkan kayuhan lapan peringkat, bermula di Kuching Sarawak pada 7 Februari dan berakhir di Pulau Langkawi, meliputi jarak keseluruhan sejauh 1,095.7 kilometer.
Untuk memeriahkan sambutan 25 tahun penganjurannya, penganjur Human Voyage Sdn Bhd akan mengadakan majlis pengenalan pasukan di Kota Kinabalu, Sabah pada 6 Fabruari serta turut mengadakan perlumbaan sehari Kriterium Antarabangsa di bandaraya itu, selain perlumbaan Klasik Malaysia di Pulau Langkawi, pada 15 Februari.