Selaku pemenang jersi kuning individu keseluruhan Le Tour de Langkawi menerusi Artem Ovechkin pada edisi lalu, Terengganu Inc TSG Cycling Team (TSG) tampil dengan sasaran sederhana menjelang bermula saingan LTdL 2019 yang akan membuka tirai saingannya 6 hingga 13 April ini.
Menyenaraikan pembantu berpengalaman bagi saingan mendaki, lebih-lebih lagi dengan pengenalan semula peringkat ke Genting Highlands, TSG turut menyenaraikan pembantunya tahun lalu, Drew Morey untuk membantu Ovechkin ke peringkat penentuan di Genting Highlands.
Selain itu, Ovechkin turut akan mendapat khidmat pemenang edisi 2015, Youcef Reguigui yang menyinar bersama MTN-Qhubeka ketika memenangi peringkat pendakian ke Bukit Fraser pada tahun berkenaan, walaupun pelumba kelahiran Algeria itu bersama-sama kapten pasukan Mohd Zamri Saleh, akan lebih fokus untuk menarik pakar pecutnya, Mohd Harrif Saleh ke kelompok depan pada saingan henjutan beramai-ramai di peringkat laluan mendatar.
Pelumba Australia Morey menduduki tempat ke-12 di Cameron tahun lalu dan tanpa Metkel Eyob yang diletakkan sebagai pelumba simpanan setakat ini, TSG berharap Reguigui dapat memberi khidmat, sekurang-kurangnya pada awal pendakian di kaki Genting.
Reguigui, pelumba Algeria yang menyinar sepanjang lima tahun bersama Qhubeka, dilihat kini berada dalam kondisi baik selepas menduduki tempat keempat dalam perlumbaan Jelajah Gabon di Afrika baru-baru ini.
Malah Ovechkin sendiri berada dalam kondisi kecergasan yang baik apabila turut memanaskan badan dalam tiga jelajah sebelum ini, sebelum memulakan cabaran getir di LTdL 2019.
Ketua Pegawai Operasi TSG, Nasiruddin Wan Idrus berkata, dengan pengenalan semula peringkat ke Genting, TSG yang tidak mahu memberi tekanan tidak perlu terhadap barisan pelumbanya, akan tampil dengan sasaran sederhana iaitu lima kelompok terbaik dalam perebutan individu keseluruhan dan sekurang-kurangnya dua kali berada di podium.
“TSG mengharapkan Artem dan Drew untuk peringkat pendakian manakala Harrif dan Youcef untuk mengejar podium peringkat kerana berdasarkan rekod pencapaian, mereka cemerlang pada edisi-edisi lalu.
“Zamri masih bergelar kapten pasukan untuk mengetuai cabaran kali ini dan pelumba tempatan yang berpengalaman dan meningkat naik, Nur Amirul Fakhruddin Marzuki akan memberi bantuan pada saat-saat yang diperlukan,” katanya.
Sasaran berkenaan dilihat sederhana tetapi dengan status pelumba yang diturunkan serta persiapan rapi yang dilakukan, TSG tampak mampu untuk mempertahankan jersi kuning Ovechkin, yang memenangi peringkat penentuan di Cameron Highlands tahun lalu
Pelumba kelahiran Berdsk, Russia yang kini berusia 32 tahun itu meniti kecergasan yang baik dengan memanaskan badan di Rondas Pilipina (Filipina), Tour of Antalya dan Tour de Taiwan, minggu lalu.
Morey, bekas pelumba muda Michelton-BikeExchange pula menduduki tempat keempat dalam perlumbaan lebuhraya Oceania.
Pada edisi LTdL 2018, TSG yang bergelut mengekang asakan pasukan lawan terutama untuk merampas jersi kuning Ovechkin selepas peringkat ke-5 di Cameron Highlands tahun lalu, menduduki tangga ke-13 dalam senarai berpasukan.
TSG kini menghuni kedudukan kedua dalam ranking Jelajah Asia UCI, 32 mata di belakang pasukan benua Malaysia Team Sapura Cycling yang berada di kedudukan teratas dengan 1222 mata dari kalangan 39 pasukan.
Sebanyak 22 pasukan akan beraksi pada Jelajah 8 peringkat yang dianjurkan oleh Human Voyage Sdn Bhd. Perlumbaan bermula di hadapan Menara Berkembar Petronas Kuala Lumpur pad 6 April sebelum berakhir dengan dua peringkat di Langkawi pada 12 dan 13 April.
Pendakian ke Genting Highlands setinggi lebih 1700 meter yang bermula dari Shah Alam pada peringkat 4 menjadi tarikan utama saingan kali ini yang menyusuri laluan Pantai Barat Semenanjung sejauh 1,250km.
SENARAI PELUMBA
Mohd Harif Saleh (MAS), Mohd Zamri Saleh (MAS), Nur Amirul Fakhruddin Marzuki (MAS), Artem Ovechkin (RUS), Drew Morey (AUS), Youcef Reguigui (ALG)