kedah-sgor

Oleh Muhammad Aiman

Kedah menamatkan penantian lapan tahun untuk kembali merampas trofi Piala Malaysia setelah menundukkan juara bertahan Selangor 6-5 menerusi penentuan sepakan penalti dalam perlawanan akhir di Stadium Shah Alam sebentar tadi.

Setelah aksi 120 minit terikat 1-1, pemenang terpaksa ditentukan menerusi tendangan penalti dan debaran yang berlanjutan sehingga ke 16 sepakan menyaksikan Rizal Ghazali muncul wira Lang Merah apabila menyempurnakan tendangan terakhir menewaskan penjaga gol Selangor, Khairul Azhan Khalid.

Ia adalah kejuaraan Piala Malaysia kelima buat Kedah setelah menjulangnya pada 1990, 1993, 2007 dan 2008 dan lebih manis kemenangan turut menyaksikan skuad bimbingan Tan Cheng Hoe itu menebus kecewa kecundang kepada gergasi merah kuning dalam aksi final tahun lalu.

“Kemenangan ini cukup istimewa kerana pada 1990, Kedah menjulang Piala Malaysia buat kali pertama, ketika itu saya sebagai pemain dan kini kembali menjulang piala sebagai jurulatih. Terima kasih kepada pemain yang telah bekerja keras, menunjukkan disiplin, semangat juang dan kerjasama sepasukan tinggi untuk menang hari ini.

“Ini adalah hadiah terbaik buat DYMM Sultan Kedah kerana ini penggal terakhir baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong dan baginda adalah peminat nombor satu bolasepak Kedah,” kata Cheng Hoe sebaik tamat perlawanan.

Perlawanan yang berlangsung di hadapan lebih 90,000 penyokong itu menyaksikan aksi seimbang dari kedua-dua pasukan yang saling berbalas serangan sejak dari sepak mula.

Antara beberapa peluang terbaik adalah percubaan ketua pasukan Kedah, Baddrol Bakhtiar yang melewati palang seawal minit pertama manakala percubaan leret ketua pasukan Red Giants Andik Vermanshah tepat ke dakapan penjaga gol Kedah, Ifwat Akmal pada minit ke-12.

Rizal kemudiannya gagal memanfaatkan peluang terbuka di depan gawang Selangor apabila merembat hantaran Syazwan Zainon tinggi melepasi palang pada minit ke-17 sebelum penyerang kebangsaan, Ahmad Hazwan Bakri menyaksikan percubaannya turut melewati palang gol Kedah.

Setelah gagal memecah kebuntuan pada separuh masa pertama, kedua-dua pasukan tampil lebih agresif di separuh masa kedua dengan Selangor terlebih dahulu mencemaskan pintu gol Kedah menerusi percubaan Andik dan Hazwan masing-masing pada minit ke-48 dan 50.       

Dua minit kemudian, Lang Merah membuka jaringan menerusi percubaan dari luar kotak penalti Rizal yang membias S.Veenod sebelum masuk ke gawang kawalan Khairul Azhan.

Gol itu menyemarakkan lagi motivasi pemain Kedah dan mereka berpeluang menggandakan kelebihan lima minit kemudian namun sepakan percuma Badrrol ditumbuk keluar Khairul Azhan.

Sedang rancak Kedah menyerang, Selangor menghukum kesilapan pertahanan Kedah apabila menjaringkan gol penyamaan menerusi rembaan cantik Hazwan yang menerima hantaran satu-dua dari Patrick Ronaldinho.

Meskipun saling mencipta peluang, gol kemenangan yang dicari gagal diperoleh sehingga wisel penamat dibunyikan dan tambahan masa 30 minit menyaksikan kedua-dua pasukan tampil dengan permainan yang lebih berhati-hati dek faktor kepenatan.

Gol-gol penalti buat Kedah dijaringkan Bang Seung Hwan, Farhan Roslan, Liridon Krasniqi, Baddrol dan Rizal manakala dua sepakan Shane Smeltz dan Amirul Hisyam Awang Kechik diselamatkan Khairul Azhan.

Bagi Selangor, penalti disempurnakan Ugochukwu Ukah, Patrick Ronaldinho, Mauro Olivi, S.Veenod dan Andik manakala percubaan Azmi Muslim diselamatkan Ifwat, sepakan Hafiz Kamal melewati palang dan sepakan terakhir Rizal Fahmi Rosid mengegar palang.

“Saya gembira dengan pemain saya, kita tidak kalah dalam 90 minit dan telah beri yang terbaik di masa tambahan. Bagi saya kalah penalti lebih kepada tuah, memang sebagai pemain akan ada rasa gementar pada saat seperti itu, pemain berpengalaman pun akan kadang-kadang gagal sempurnakan penalti. Yang penting mereka telah cuba terbaik,” kata jurulatih Selangor, K.Gunalan.   

- Advertisement -