Oleh Muhammad Aiman
Pelari pecut, Zaidatul Husniah Zulkifli menjadi pilihan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) untuk membawa cabaran negara di temasya Sukan Olimpik Rio De Janeiro pada Ogos depan, menerusi tiket wildcard bagi kategori wanita.
Ketua jurulatih olahraga kebangsaan, Zainal Abas mengesahkan bahawa Zaidatul adalah pilihan utama KOM setelah menilai prestasi konsisten dan meningkat naik yang ditunjukkan atlet cilik berusia 23 tahun itu sepanjang tahun ini.
Ini termasuklah ketika beraksi di Kejohanan Memorial Kosanov XXVI di Almaty, Kazakhstan hujung minggu lalu yang mana Zaidatul melakar catatan masa terbaik peribadinya bagi tahun ini iaitu 11.67s di peringkat saringan acara 100m wanita.
Pemilihan atlet berasal dari Pulau Pinang itu bermakna dia menjadi atlet ke-27 dan kedua dari sukan olahraga untuk layak ke Rio, mengiringi jaguh lompat tinggi Nauraj Singh Randhawa yang melayakkan diri ke temasya sukan terbesar dunia itu secara merit.
Nauraj menyamai had kelayakan minima Sukan Olimpik, 2.29m – yang juga rekod baru kebangsaan dalam laluan untuk memenangi pingat emas di Kejohanan Terbuka Singapura April lalu.
Chef De Mission kontijen negara, Tan Sri Mohamed Al Amin sebelum ini menjangkakan minimum 32 atlet akan melayakkan diri ke Rio menjelang tarikh akhir penyertaan pada 11 Julai depan, termasuklah dari sukan golf dan renang.
Untuk rekod, 25 atlet lain yang telahpun mengesahkan tempat di Rio adalah Nur Dhabitah Sabri, Wendy Ng, Pandalela Renong, Ooi Tze Liang, Cheong Jun Hoong, Amsyar Azman (terjun), Azizulhasni Awang, Fatehah Mustafa (berbasikal), Johnathan Wong (menembak), Welson Sim, Heidi Gan (renang), Khairulnizam Affendy, Nur Shazrin (pelayaran), skuad memanah lelaki dan Hafifi Mansor (Angkat Berat).
Turut membawa cabaran adalah prospek utama pingat, Dato’ Lee Chong Wei, Goh V Shem/Tan Wee Keong, Chan Peng Soon/Goh Liu Ying, Tee Jing Yi dan Woon Khe Wei/Vivian Hoo dari sukan badminton.