jdtbenga-3

Oleh Muhammad Aiman

Wakil negara, Johor Darul Takzim (JDT) akan turun menentang Bengaluru FC dalam aksi separuh akhir kedua Piala AFC di gelanggang lawan di Stadium Sree Kanteerava, Bangalore petang ini tanpa kelibat tiga penyerang utama mereka.

Jarang berlaku, tetapi itulah situasi terpaksa dihadapi juara bertahan Piala AFC itu apabila mereka kehilangan khidmat dua gandingan import sensasi, Jorge Pereyra Diaz dan Juan Martin Lucero serta penyerang veteran Amri Yahyah kesemuanya kerana penggantungan perlawanan.

Ketiadaan trio tersebut yang menjaringkan keseluruhan 67 gol dalam semua pertandingan musim ini bermakna skuad Mario Gomez yang sekadar seri 1-1 di Larkin tiga minggu lalu berdepan tugas getir mencari kemenangan di gelanggang lawan jika berhasrat melangkah ke final buat kali kedua berturut-turut.  

Begitupun, Gomez optimis akan kemampuan pasukannya untuk menyingkirkan Bengaluru berdasarkan prestasi semasa pasukannya di Piala AFC, selain berpendapat tempoh masa tiga minggu telah memberikannya ruang yang cukup untuk mencatur taktikal dan strategi ampuh.  

“Saya rasa tiada apa yang mustahil, kita telah melalui dua musim yang menakjubkan dan kita mahu meneruskannya. Walaupun mungkin sukar tanpa tiga pemain di barisan depan, saya percaya pemain-pemain lain mempunyai kualiti untuk mengisi kekosongan mereka seterusnya membawa kita ke final.

“Saya telah mempunyai tempoh masa cukup untuk mencari calon sesuai untuk mengemudi serangan. Safee Sali akan menjadi penyerang utama, dan saya mungkin akan meletakkan Azinee (Taib) atau Safiq (Rahim) untuk bermain di depan. Ianya adalah tentang bagaimana pemain-pemain ini akan menterjemahkan apa yang telah dirancang di atas padang,” kata Gomez.

Menambah perkhabaran ceria di kem Harimau Selatan, kembalinya pemain bek kanan utama S.Kunanlan dari kecederaan harmstring – bekas pemain kebangsaan itu dijangka bergandingan bersama Marcos Antonio, Aidil Zafuan Abd Radzak dan Fazly Mazlan di pertahanan JDT setelah tersisih ketika aksi pertama di Larkin.

“Bengaluru berbahaya ketika situasi bola mati (set-piece). Saya tidak tahu bagaimana mereka akan bermain di gelanggang sendiri, tetapi kami sudah bersedia. Yang penting adalah kami perlu mencari jaringan dalam masa sama bertahan dengan baik. Saya gembira Kunanlan sudah kembali dan kini kami mempunyai barisan pertahanan terbaik untuk menyekat Bengaluru,” tambah Gomez. 

Untuk rekod, perlawanan menentang Bengaluru pada Rabu, adalah pertemuan keempat kedua-dua pasukan bagi musim ini. Sebelum ini dalam aksi peringkat kumpulan, JDT menang 3-0 di Larkin dan 1-0 di Bangalore.

- Advertisement -