Oleh Muhammad Aiman
Aksi kedua Liga Super berlangsung malam ini, dengan pendahulu liga, Selangor mengidam mahu meneruskan rentak kemenangan apabila melayan kunjungan Melaka United di Stadium Selayang.
Selangor mengetepikan krisis luar padang untuk menundukkan Pulau Pinang 2-0 minggu lalu namun berdepan skuad bersemangat tinggi Melaka yang bakal turun dalam aksi Liga Super pertama mereka dalam tempoh sembilan tahun, pengendali Red Giants P.Maniam sedar ia bukan sesuatu yang mudah.
“Melaka adalah lawan yang berbeza, kita tidak pernah bertemu mereka namun kita sedar mereka sebuah pasukan yang kuat dan agresif. Mereka ada kelebihan kerana tidak beraksi minggu lalu, dan mempunyai tempoh rehat lebih lama untuk persiapkan pasukan yang lebih mantap, jadi kita perlu berhati-hati.
“Saya jangkakan ia satu perlawanan yang sangat sukar kerana mereka akan mempertaruhkan dua pemain import di serangan, jadi selain meminta penyerang untuk lebih tajam saya juga perlu fokus di dalam membina pertahanan yang lebih ampuh untuk perlawanan ini,” kata Maniam.
Tatkala jaringan Adam Nor Azlin dan Francis Forkey Doe memberikan Red Giants tiga mata minggu lalu, Melaka pula terpaksa menunggu lebih lama untuk sepak mula aksi pertama Liga Super apabila perlawanan menentang Kelantan di Kota Bharu terpaksa ditunda kerana cuaca buruk.
Skuad bimbingan Eric Williams itu dianggap sebagai salah satu pasukan pencabar terkuat Liga Super musim ini bukan sahaja kerana status mereka selaku juara 100 Plus Liga Premier 2016, tetapi juga kerana persiapan mereka yang lebih gah berbanding pasukan lain.
Mereka merekrut antaranya Amri Yahyah, Fauzi Roslan, Tam Sheang Tsung (pemain kacukan Malaysia-China), Izzaq Faris Ramlan serta tenaga import seperti Sergio Aguero dan Jeong Woo Young untuk memperkuatkan pasukan, selain berjaya mengekalkan khidmat penjaring terbanyak Ilija Spasojevic.
Pengurus pasukan, Datuk Yusoff Mahadi berkata, “Kita percaya mereka mampu mencatat keputusan yang baik dalam perlawanan pertama ini walaupun terdapat jurang dari segi pengalaman dan kekuatan Selangor yang dianggap kelab ternama dan punyai rekod cemerlang.
“Pemain-pemain juga dilihat lebih berkeyakinan dan bermotivasi tinggi untuk menterjemahkan segala yang diajar jurulatih ketika latihan dan saya berharap mereka akan membuktikan kemampuan mereka agar tidak dilihat sebagai sebuah pasukan lemah setelah begitu lama terperosok di liga bawahan.”