Ketua jurulatih Johor Darul Takzim, Benjamin Mora meletakkan nama pemilik kelab gergasi Liga Malaysia itu, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebagai calon ‘pemain terbaik’ JDT.

Ia susulan kejayaan JDT mempertahankan gelaran juara Liga Super 2020 untuk kali ketujuh berturut turut selepas menewaskan Sabah 4-1 di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri.

Benjamin Mora berterima kasih dengan pengorbanan yang telah dilakukan oleh TMJ untuk memastikan pemain pemain dan pegawai JDT ditahap terbaik untuk mengharungi Liga M musim 2020.

Tatkala kebanyakkan pasukan berdepan kesukaran untuk mengharungi musim 2020 yang cukup mencabar susulan pandemik Covid 19 yang memaksa penangguhan saingan liga tempatan sejak Mac lalu, TMJ memastikan barisan pegawai dan pemain dijaga dengan sebaik mungkin untuk kekal cergas dan berdaya saing.

Justeru, demi membalas pengorbanan yang telah dilakukan, pemain pemain dan barisan kejurulatihan memastikan trofi Liga Super dijulang di Stadium Sultan Ibrahim.

Selain pertunjukkan bunga api, tayangan khas meraikan kejayaan pasukan Harimau Selatan tidak hanya disaksikan di dalam stadium, tetapi penyokong juga diberi peluang untuk menikmati detik bersejarah apabila JDT memperkenalkan “In-Car Viewing Party”, yang membolehkan penyokongnya menonton perlawanan pasukan kesayangan mereka menentang Sabah secara langsung dari dalam kenderaan masing-masing menerusi lima skrin layar gergasi.

Kira kira 1500 kenderaan berada diperkarangan tempat letak kenderaan terbuka dan kesemua penonton tertakluk kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan tidak diabaikan kerana terdapat langkah merekod kehadiran penyokong menggunakan aplikasi MySejahtera selain mengambil bacaan suhu badan mereka.

Ia merupakan salah satu inisiatif yang dilakukan JDT mamandangkan tiada penonton dibenarkan di dalam stadium situasi pandemik COVID-19 yang masih menular dalam kalangan masyarakat.

Malaysia Football League (MFL juga mengesahkan, JDT telah membuat permohonan untuk membawa masuk ahli keluarga pemain berskala kecil ketika aksi CIMB Liga Super bertemu Sabah di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri semalam.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan memberitahu kemasukan ahli keluarga pemain berjumlah tidak melebihi 100 orang telah dimaklumkan kepada JDT oleh pengendali Liga Malaysia itu.

“Oleh kerana perlawanan ini merupakan perlawanan yang menentukan juara CIMB Liga Super dan akan diadakan penyerahan piala liga, pihak JDT ada membuat permohonan rasmi dengan MFL untuk membawa sejumlah ahli keluarga pemain untuk memasuki stadium.

“Hasil perbincangan bersama setelah melihat struktur venue dan sambutan kejuaraan, MFL bersetuju untuk membenarkan bilangan ahli keluarga pemain berskala kecil dibawa masuk dengan mematuhi SOP (Prosedur Operasi Standard) yang telah ditetapkan seperti pemeriksaan suhu badan di pintu masuk dan penjarakan fizikal di dalam stadium,” katanya dalam satu kenyataan rasmi, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Dato’ Ab Ghani memberitahu kelulusan khas itu diberikan selepas melihat segala aspek pematuhan SOP khusus untuk kumpulan ahli keluarga pemain JDT ini telah dipatuhi sepenuhnya.

“Saya menyangkal di mana terdapat satu gambar tular yang menunjukkan peminat masuk ke stadium beramai-ramai dan itu adalah perkara tidak benar.

“Ini kerana tidak ada mana-mana peminat masuk dan hanya ahli keluarga pemain JDT berskala kecil sahaja berada dalam stadium selain pegawai-pegawai yang bertugas dalam stadium,” katanya.

 

 

- Advertisement -