Oleh Ku Mohd Lufti
Bayangan calon yang akan menduduki kerusi utama sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) di Kongres Pemilihan FAM kelak tampak semakin jelas.
Pemilik kelab Johor Darul Takzim (JDT) Tunku Ismail Sultan Ibrahim terus mendapat kepercayaan daripada ahli gabungan dan terkini Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) antara yang melaungkan sokongan kepada baginda untuk menerajui FAM.
“FAS memberi sokongan 100 peratus untuk TMJ. Tunku Ismail adalah individu yang tepat kerana masih muda serta berani dalam memperjuangkan bola sepak yang terbukti dengan kecemerlangan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT),” katanya.
Tambah Subahan, sokongan yang dibuat bukan atas kepentingan peribadi sebaliknya beliau yakin pemilik JDT itu mampu mengubah senario bola sepak negara yang suram dan penuh kontroversi.
Namun pada masa yang sama, Subhan tidak mengetepikan seorang lagi calon yang akan bertanding bagi jawatan Presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa.
“Masing-masing ada kehebatan tersendiri, kita tidak boleh perkecilkan kehebatan mereka.
“Tan Sri (Annuar) telah menaikkan bola sepak Kelantan manakala TMJ dalam sekelip mata telah mengubah landskap bola sepak Johor,” katanya lagi.
Subahan yang turut bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden FAM tidak akan memainkan peranan sebagai ‘pak turut’ sebaliknya mengharapkan sesiapa sahaja yang terpilih perlu berani bersuara untuk kepentingan serta kebajikan persatuan bola sepak negeri.
“Saya tidak akan jadi ‘yes man’ dan akan pastikan kebajikan persatuan negeri diperjuangkan…semua pihak perlu tahu tanpa anggota gabungan, tiadalah FAM.
“Sebelum ini, FAM hanya menunggu presiden bekerja, perkara ini perlu berubah, timbalan presiden, naib presiden juga perlu bekerja…perlu cari dana,” kata Subhan.
Bagi jawatan Timbalan Presiden, Subahan akan berdepan saingan dengan penyandang semasa, Datuk Seri Afandi Hamzah dan Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA), Datuk Yusof Mahadi.