Pandelela

Terjun yang dijangka menjadi lubuk pingat buat negara pada hari kelapan temasya Sukan Komanwel Gold Coast 2018 gagal menepati jangkaan dan tampil dengan prestasi suram luar biasa.

Bermula dengan kegagalan penerjun negara, Ooi Tze Liang mempertahankan pingat emas acara 3 meter papan anjal yang dimenanginya empat tahun lalu di Glasgow, tiga penerjun wanita yang turun dalam final 3m platform turut beraksi hambar.

Dengan terjunan yang tidak konsisten, Tze Liang sekadar mengumpul 373.75 mata untuk menamatkan saingan di tempat kesepuluh dari 12 penerjun manakala rakan senegara Chew Yi Wei di tempat kesebelas (347.20 mata).

“Saya tidak dapat menjelaskannya, ianya sukar. Mungkin ia adalah kerana mental yang tidak kuat. Tiada gangguan lain, ianya cukup mengecewakan dan saya perlu bangkit mencari penyelesaian” ujar Tze Liang.

Lawan yang ditewaskan Tze Liang di final Glasgow 2014, Jack Laugher memenangi pingat emas dengan catatan 519.40 mata manakala penerjun Kanada Philippe Gagne memenangi perak dan gangsa pula milik penerjun tuan rumah, James Connor.

Dalam aksi wanita, Pandelela yang memenangi pingat perak di Glasgow terlepas kedudukan podium dengan beza hanya 4 mata kepada penerjun England, Lois Toulson dan terpaksa berpuas hati menamatkan cabaran di tempat keempat dengan 340.20 mata.

Seorang lagi penerjun, Cheong Jun Hoong pula di tempat kelima dengan 332.85 mata manakala Kimberly Bong menamatkan saingan di tempat kesepuluh dari 12 penerjun dengan mengumpul 294.20 mata.

Pingat emas acara ini dimenangi Melissa Wu dari Australia dengan 360.40 mata, perak menjadi milik Meaghan Benfeito dari Kanada (359.75 mata) dan gangsa milik Toulson. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -