Selepas Negeri Sembilan, giliran UiTM FC dan Selangor 2 menjadi pasukan terbaharu yang telah mengadakan latihan pada Rabu sejak kebenaran diberikan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) bermula 15 Jun lalu mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.
Skuad UiTM yang dikendalikan Frank Bernhardt telah mengadakan sesi latihan di tiga padang berbeza dengan dua kumpulan pemain ditempatkan di Padang Sintetik UiTM dan satu lagi kumpulan di Stadium UiTM Shah Alam.
Pengalaman mengikuti latihan pada hari pertama di bawah SOP tertentu jelas memberikan perbezaan ketara buat ketua pasukan UiTM Muhd Faizal Mohd Arif, yang mengakui itu sebagai satu norma baharu yang perlu diterima semua pemain.
Faizal bagaimanapun memahami keperluan mengikuti SOP itu sebagai satu tanggungjawab bersama dalam membendung penularan wabak COVID 19 selain memastikan tiada masalah besar yang boleh timbul jika ada mana-mana pemain lain dijangkiti virus berkenaan.
“Tiga bulan tidak berlatih, sememangnya terasa satu kelainan ketara bila kembali di atas padang apabila kena berlari dan pelbagai latihan lain walaupun kami semua ada berlatih sesama sendiri di alam maya.
“ Memang banyak perkara kena biasakan dengan SOP ini terutamanya tidak boleh berkongsi air minuman manakala selepas latihan, kami tidak dibenarkan berkumpul untuk berbual dan perlu segera pulang ke rumah untuk membersihkan diri.
“Waktu latihan selama 45 minit juga dirasakan amat sekejap kepada kami yang selalunya berlatih untuk tempoh satu setengah jam, tetapi kami faham ini adalah satu yang dipatuhi dalam SOP demi kebaikan bersama.
“ Malah dalam tempoh latihan sekarang, jurulatih hanya menekankan beberapa aspek sahaja yang tidak terlalu berat memandangkan sudah lama kami tidak turun berlatih, “ katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Football League (MFL), Dato’ Ab Ghani Hassan menegaskan latihan fasa 1 bakal menjadi penanda aras penting buat pasukan sebelum pengendali liga tempatan itu melanjutkan proses kepada fasa 2.
Ini kerana proses kepada fasa 2 iaitu latihan secara ‘body contact’ akan menjadi lebih cerah jika kesemua pasukan patuh serta disiplin mengikuti setiap SOP ketika menjalani sesi latihan dalam fasa 1 tanpa ‘body contact’.
Dalam pada itu, ketua pasukan Selangor 2, Sharul Nazeem Zulpakar, juga berkongsi pandangan yang sama dengan Faizal yang berasakan mereka masih perlu diberikan masa mengikut SOP yang ditetapkan MFL selain mengharapkan liga dapat bersambung lebih awal namun semuanya bergantung kepada keputusan MFL.
“ Selepas menjalani hari pertama latihan, saya rasa begitu berbeza sekali kerana latihan tidak boleh berkumpulan seperti sebelum ini kerana diterhadkan kepada sepuluh pemain dan empat jurulatih sahaja dalam padang.
“ Jika keadaan dah semakin pulih, saya harap liga boleh bermula awal tetapi apa pun sebagai pemain saya ikut sahaja keputusan FAM dan MFL malah dalam masa yang sama, pemain juga perlu membuat persiapan untuk menghadapi liga yang akan bermula tak lama lagi .
“Walaupun diberi masa 45 minit sahaja latihan tetapi pemain perlu mengambil masa itu dengan baik kerana bukan sesuatu yang mudah bagi pemain atau jurulatih untuk membuat latihan dalam masa yang singkat, ” katanya.