Oleh Muhammad Aiman
Bagi memastikan misi sifar kes doping di Sukan SEA dan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 dapat dicapai, Agensi Anti Doping Malaysia (ADAMAS) akan melakukan ujian doping secara rawak dengan lebih kerap menjelang bermulanya temasya dwi tahunan itu Ogos depan.
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata langkah itu penting agar kesedaran mengenai doping di kalangan atlet dapat ditingkatkan, selain membantu mereka memahami hak, undang-undang, peraturan serta perihal berkaitan bahan terlarang.
“Kita tidak mahu umum terlalu banyak butiran terperinci mengenai ujian rawak ini, semuanya akan dijalankan secara mengejut. Jadi saya tidak boleh beritahu bila dan berapa kerap. Setakat ini tiada kes dilaporkan, tetapi kekerapan akan meningkat menjelang Ogos nanti,” ujar Khairy.
Khairy bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Program Kempen Kesedaran Anti Doping anjuran Majlis Olimpik Malaysia di Wisma MOM pada Sabtu yang dihadiri lebih 200 atlet, jurulatih dan pegawai pasukan.
Menurutnya lagi, atlet bertanggungjawab ke atas diri mereka terhadap pemakanan yang mereka amalkan serta sebarang pengambilan ubat-ubatan atau suplemen tambahan justeru mengingatkan mereka agar sentiasa mendapatkan pandangan daripada pakar perubatan, khususnya dari Institut Sukan Negara atau pun jurulatih.
“Kita tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana kes positif doping. Sebab itulah banyak taklimat dan penerangan diberikan supaya mereka nanti tidak katakan bahawa tidak ada apa-apa usaha dari pada pihak-pihak yang bertanggungjawab di dalam memberikan maklumat atau keterangan berhubung anti-doping.”