Kelab Liga Premier, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) FC antara pasukan terawal mengambil pendekatan untuk memotong gaji pemain antara 15 ke 20 peratus bermula April ini sehingga tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran penularan wabak COVID-19 berakhir.
Setiausaha Kehormat UKM FC, Mohd. Fairus Shafie, berkata, langkah itu telah dimaklumkan kepada pemain yang memahami kesukaran dialami pihak pengurusan selepas Liga Malaysia terpaksa ditangguhkan sejak 16 Mac lalu.
Jelasnya lagi, tempoh PKP ini juga menyukarkan pihak penaja dalam memenuhi komitmen kepada pasukan UKM FC dan situasi itu membuatkan pengurusan tiada pilihan mengambil langkah sebegitu bagi memastikan kelangsungan pasukan.
“Gaji pemain untuk bulan Mac telah dilangsaikan dan bagi bulan April, kami telah beritahu langkah pemotongan terpaksa diambil, rata-rata pemain menerima keadaan ini memandangkan liga masih ditangguhkan.
“Hanya maksimum 20 peratus pemotongan gaji kami akan kenakan dan 15 peratus pula kepada pemain-pemain yang bergaji rendah, langkah ini akan diteruskan sehingga tempoh PKP berakhir dan tertakluk kepada perbincangan kedua-dua pihak.
“Saya faham pemain ada kontrak namun dalam tempoh luar jangka ini, sememangnya jadi satu tempoh mencabar kerana libatkan semua pihak di luar sana dan saya hargai sikap tolak ansur pemain.
“ Kami akui penaja tidak dapat membantu pasukan buat masa ini kerana mereka juga terjejas dan ini adalah formula terbaik demi kebaikan semua pihak, ” katanya.
Sebelum ini, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selaku badan induk bola sepak negara dan Malaysian Football League (MFL) sebagai pengendali Liga Malaysia 2020 dalam satu kenyataan menasihati serta menggalakkan supaya semua pasukan dan kelab terlibat mengadakan perbincangan terbuka dengan para pemain bagi membincangkan kesan terhadap situasi semasa ini.
Dalam pada itu, kapten pasukan UKM FC, Asnan Ahmad menyifatkan apa jua yang diputuskan oleh pihak pengurusan adalah demi kebaikan pasukan dan pemain itu sendiri terutamanya dalam mengharungi situasi penularan wabak COVID-19 ini.
Dan dia percaya, perbincangan mendalam akan dilakukan lebih kerap antara pemain dan pasukan bagi mencari solusi terbaik khususnya mengenai gaji dan kebajikan pemain dalam tempoh yang sukar ini.
Apa yang penting, pemain berusia 27 tahun ini mengharapkan semua peminat dapat terus memberi semangat kepada semua pasukan yang bertanding di samping berdoa agar wabak ini beransur pulih kerana sudah rindu untuk kembali beraksi di padang.
“Kami memang sudah dimaklumkan mengenai pemotongan gaji tersebut dan selepas ini perbincangan lebih mendalam akan dilakukan lagi untuk kami sama-sama dapat mencari jalan penyelesaian terbaik.
“Apa pun, saya memang mengharapkan apa jua keputusan adalah demi kebaikan untuk kedua-dua pihak apatah lagi dalam tempoh yang mencabar ini bagi menghadapi wabak COVID-19.
“Dan dalam keadaan yang cukup getir ini, saya memang setuju seandainya perbincangan antara pasukan dan pemain dapat dibuat selalu untuk sama-sama bertolak ansur dalam situasi sukar ini”, katanya.
Sebelum ini kelab Liga Super Johor Darul Ta’zim (JDT) mengumumkan pelaksanaan pemotongan gaji 33 peratus ke atas gaji para pemain, jurulatih dan kakitangannya dan mendermakan sebahagian daripada gaji mereka kepada Tabung Bencana Negeri Johor bagi meringankan beban kelab dan masyarakat ketika berdepan situasi mencabar akibat wabak COVID-19.