Universiti Kuala Lumpur (UniKL) menepati ramalan mara ke pentas final Piala TNB selepas menewaskan Maybank menerusi agregat 9-1.
Turun dengan bekalan selesa hasil kemenangan 4-1 pada perlawanan separuh akhir pertama, skuad bimbingan Arul Selvaraj dilihat mempamer aksi terbaik untuk mempertahankan kelebihan itu sebelum melakar kemenangan 5-0 pada aksi timbal balik di Stadium Tun Razak hari ini.
Pada aksi final Sabtu ini, UniKL yang tampil selaku juara bertahan serta baru dinobatkan selaku juara Liga Perdana, akan bertemu Pasukan Hoki Terengganu (THT).
THT mara ke final selepas menewaskan TNB menerusi agregat 8-3.
Di sebalik gembira dengan keputusan itu, Arul mengesahkan tidak dapat menggunakan empat tonggak import pada pentas final iaitu Valentin Verga; Robert Kemperman; Martijn Havenga dan penjaga gol utama, David Harte.
Ini kerana kesemua mereka terikat kontrak untuk beraksi di Liga Hoki Eropah (EHL) yang tidak membenarkan pemainnya beraksi dengan mana-mana kelab bermula 1 Mac.
“Sebab itu pada perlawanan hari ini saya cuba untuk tidak menggunakan keempat-empat pemain itu pada suku terakhir. Ianya untuk pemain sedia ada membiasakan diri beraksi tanpa keempat-empat pemain import ini.
“Inilah juga masanya untuk kesemua pemain yang ada membuktikan bahawa mereka mampu menggalas tugas pada aksi final nanti,” katanya.
Pada perlawanan hari ini, pakar pukulan sudut penalti, Muhammad Razie Abd Rahim meletakkan UniKL di depan minit ke-30 sebelum tonggak import, Kemperman menambah gol kedua pada minit ke-35.
Kapten UniKL, Muhammad Marhan Mohd Jalil menambah gol ketiga menerusi jaringan padang minit ke-49 sebelum Razie menambah gol keempat hasil pukulan sudut penalti seminit kemudian.
Faridzul Afiq Mohd kemudian menambah gol kelima UniKL minit ke-59.