Universiti Kuala Lumpur (UniKL) mungkin tidak mendapat sokongan peminat Pasukan Hoki Terengganu (THT) yang akan membanjiri Stadium Hoki Batu Buruk esok, namun pengendalinya Arul Selvaraj mahu barisan pemainnya kekal fokus menghadapi aksi Piala Sumbangsih itu.
“Ia akan menjadi perlawanan yang sukar kerana kedua-dua pasukan melakukan persiapan rapi untuknya,” kata Arul. “Kami perlu fokus sepanjang perlawanan dan cuba mendapat keputusan yang positif. Suasana dalam pasukan amat baik dan kami telah bersedia untuk aksi pembukaan musim tersebut.”
Ini adalah kali pertama UniKL akan beraksi dalam Piala Sumbangsih selepas menjuarai saingan Piala TNB tahun lalu manakala THT pula masih kemarau gelaran itu sejak beraksi dalam saingan berkenaan bermula tahun 2014.
Pada musim lalu mereka tewas 4-5 kepada Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) menerusi penentuan penalti selepas kedudukan terikat 2-2 dan pastinya skuad Pantai Timur itu mahu menamatkan penantian itu kali ini.
Perlawanan Piala Sumbangsih itu dijangka berlangsung penuh menarik dengan kedua-dua pasukan bakal menampilkan barisan pemain import terbaik.
UniKL akan mempertaruhkan empat daripada enam pemain importnya diketuai penjaga gol Ireland, David Harte, pemain Australia Kieran Govers dan Timothy Deavin serta pertahanan Belanda, Martijn Havenga.
Baki dua pemain dari Belanda – Valentin Verga dan Robbert Kemperman yang beraksi di Piala Dunia 208 di Bhubaneswar, India, hanya akan tiba esok dan hampir pasti terlepas aksi tersebut.
UniKL juga mengharapkan persembahan terbaik daripada pakar pukulan sudut penalti, Razie Abdul Rahim dan pertahanan senior Sukri Mutalib bersama jeneral tengah Mohd Marhan Mohd Jalil dan bekas pemain kebangsaan Baljit Singh dan Harvinder Singh.
THT pula, akan mengeksploitasi pertahanan lawan menggunakan penyudah pakar pukulan sudut penalti Korea Selatan Jang Jong-Hyun dan rakan senegaranya Jun Man Jie bersama Amad Shakeel Butt (Pakistan), Pablo Travisan serta Gonzalo Merino (Argentina) dan Daniel Kyriakides (wales).