Jaringan tunggal Tengku Ahmad Tajuddin julang kejayaan UniKL
UniKL menjulang kejuaraan Liga Hoki Malaysia (Premier) 2021 buat kali ketiga berturut-turut apabila mengatasi Maybank 1-0 pada perlawanan terakhir di Stadium Hoki Nasional, sekaligus menghampiri sasaran meraih kejayaan treble musim ini.
Penyerang berpengalaman negara Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil muncul wira UniKL selepas juara bertahan itu dikat hingga suku ketiga tanpa sebarang gol oleh Maybank yang nyata memberikan saingan sengit.
UniKL bergaya melengkapkan kempen 2021 dengan mengekalkan rekod tanpa kalah dan jumlah 19 mata keseluruhan.
Turun dengan reputasi sebagai pilihan utama dengan rekod tanpa kalah, skuad bimbingan jurulatih Megat Azrafiq Megat Termizi nyata terpaksa berhempas pulas sebelum dapat mengesahkan status juara.
Selepas saling melakukan serangan, Tengku Ahmad Tajuddin akhirnya menghadirkan kegembiraan buat kem UniKL apabila berjaya menyempurnakan tolakan dari jarak dekat dalam satu keadaan kelam kabut di hadapan gol Maybank pada minit ke-49.
Biarpun mendapat lima pukulan sudut penalti, UniKL gagal menembusi benteng Maybank yang nyata bermain baik dalam tiga suku pertama mengekang serangan demi serangan lawan mereka.
Selepas kejayaan menjulang Piala Sumbangsih dan Liga, sasaran UniKL untuk mencatatkan treble tampak cerah apabila meneruskan cabaran ke separuh akhir Piala TNB yang berlangsung secara timbal balik bermula Ahad ini. UniKL, sebagai juara diundi bertemu pasukan yang menduduki tangga keempat.
Kejayaan skuad bimbingan Megat Azrafiq Megat Termizi itu tambah manis dengan kejayaan UniKL Ladies yang turut menjulang Piala Liga wanita mencipta kejayaan dalam penampilan mereka.
Wira UniKL Tengku Ahmad Tajuddin nyata lega dan gembira tetapi memberikan pujian pada Maybank yang memberikan tentangan sengit.
“Kami tidak bermain agak baik berbanding perlawanan-perlawanan lepas, tetapi yang penting ialah menang akhirnya. Maybank harus dipuji, nyata mereka lawan yang kuat,” kata beliau.
THT 4 – 1 TNB
BEKAS juara Terengganu Hockey Team (THT) terpaksa akur dengan status sebagai naib juara selepas melengkapkan kempen Liga dengan kemenangan 4-1 ke atas TNB.
Penyerang kebangsaan Faizal Saari menghadirkan sedikit kegembiraan buat THT apabila menjaringkan hatrik untuk mengemudi kemenangan THT. Faizal juga muncul sebagai penjaring terbanyak Liga dengan jumlah 14 gol daripada keseluruhan tujuh perlawanan.
Kegagalan untuk mengulangi kejayaan terakhir yang diraih pada 2018 itu pasti perit untuk ditelan, apatah lagi apabila nasib mereka terpaksa ditentukan oleh UniKL yang sebelum itu sudah mengesahkan kejuaraan apabila mencatatkan kemenangan tipis 1-0 ke atas Maybank.
Tumpuan kini pasti beralih ke saingan Piala TNB yang sekali lagi menyaksikan pertemuan menentang TNB pada saingan separuh masa pertama Ahad ini.
Perlawanan THT-TNB dianggap antara perlawanan tumpuan pada akhir Liga namun THT nyata berjaya menguasai permainan dengan Faizal menjadi wira dua gol.
THT mengejutkan TNB menerusi gol awal Akhimullah Anuar Esook pada minit ke-6 sebelum Faizal melebarkan jurang sebelum tamat separuh masa pertama menerusi jaringan padang minit ke-28.
Faizal sekali lagi memastikan kemenangan mutlak THT apabila meledak hatrik menerusi pada minit ke-28, 39 dan ke-58 sebelum Muhammad Muhibudin Moharam merapat jurang buat TNB pada minit ke-51.
Jurulatih THT K. Rajan menganggap kemenangan itu tetap penting biarpun pemain agak kecewa tidak dapat menjuarai Liga.
“Keputusan yang memuaskan malam ini kerana bukan mudah menjaringkan empat gol ke atas TNB. Kemenangan ini juga penting sebagai bekalan untuk memberi saingan lebih sengit dalam Piala TNB nanti terutamanya kerana format timbal balik nanti,” kata Rajan.
UITM 3 – 2 SABAH
UiTM mengekalkan kedudukan ke-5 keseluruhan selepas mengatasi Sabah 3-2 pada perlawanan terakhir Liga malam ini, mengulangi kedudukan sama musim lepas.
Skuad kendalian Mohd Nor Akmal Ghaffar terpaksa akur terlepas tiket ke separuh akhir Piala TNB dan perlu kembali mengatur perancangan kembali dengan skuad yang lebih mantap pada musim depan.
Selepas tanpa jaringan pada suku pertama, penyerang UiTM menemui sentuhan pada suku kedua menerusi jaringan sudut penalti Nor Nashriq Farhan Nor Amin pada minit ke-16 sebelum.
Dua gol pada suku ketiga menerusi Danial Asyraf Abdul Ghani (minit ke-31) dan Muhammad Hafiizhuddin Zaidi pada minit ke-49 memastikan kemenangan dan kedudukan UiTM hingga akhir perlawanan biarpun Saba cuba bangkit menerusi dua gol Baljit Singh pada minit ke-49 dan 56.
TNB Thunderbolts 2 – 0 Nurinsafi HT
BARISAN muda TNB Thunderbolts mengakhiri kempen dengan mencatat kemenangan ke atas Nurinsafi HT yang merupakan kemenangan kedua Liga sekaligus memastikan mereka di kedudukan ke-6 keseluruhan.
Dua jaringan, masing-masing di separuh masa pertama dan kedua oleh Muhammad Faris Harisan pada minit ke-7 dan Muhammad Syahir Hasif harun (minit ke-47) memastikan enam mata keseluruhan buat Thunderbolts.
Nurinsafi HT terpaksa akur terperosok di tangga terbawah Liga selepas tewas kesemua perlawanan musim ini.
KEPUTUSAN PENUH:
UniKL 1 – 0 Maybank
UiTM 3 – 2 Sabah
TNB 1 – 4 THT
TNB Thunderbolts 2 – 0 Nurinsafi HT
JADUAL PERLAWANAN PIALA TNB
Ahad , 25 Mac 2021
UniKL mln TNB (8 mlm) NHS 1
THT mln Maybank (8 mlm) NHS 2