SEJARAH tercipta apabila UniKL Ladies muncul juara baru Liga Hoki Malaysia (Wanita) 2021 dalam penampilan pertama mereka selepas menumpaskan Sabah 7-0 pada perlawanan di Stadium Hoki Nasional malam ini.
Biarpun masih berbaki satu perlawanan, UniKL Ladies sah dinobat sebagai juara liga selepas mengekalkan rekod tanpa kalah dan meraih 12 mata penuh dengan baki satu perlawanan sebelum tirai liga dilabuh Rabu ini.
Sabah kekal dengan enam mata dan kini menghuni kedudukan ke-4 liga selepas kekalahan kedua mereka malam ini.
Dengan hanya baki satu perlawanan menentang Young Tigress, UniKL Ladies sudah berada di luar jangkauan pasukan lain manakala gelaran naib juara kini menjadi perebutan antara PKS Uniten-KPT dan PDRM Blue Warriors. Sebelum itu, Uniten menewaskan Mutiara Juniors 13-1 manakala dan PDRM menundukkan Young Tigress 9-0.
Bagi UniKL Ladies, kejayaan dalam penampilan pertama itu pastinya satu pencapaian amat manis kerana selain dapat merealisasikan sasaran awal muncul juara, kemenangan itu terus mengukuhkan reputasi skuad universiti itu sebagai kuasa besar hoki lelaki dan wanita negara.
UniKL Ladies memastikan kemenangan mutlak ke atas Sabah dengan prestasi cemerlang penjaring hatrik Nuramirah Shakirah Zulkifli yang berjaya membolosi gawang pada minit ke-14, 41, 50 dan 54. Kejayaan hatrik itu sekaligus melonjakkan kedudukan beliau sebagai penjaring terbanyak liga setakat ini dengan 7 gol daripada empat perlawanan.
Gol lain UniKL Ladies hadir menerusi Khairunnisa Ayuni Mohd Sharuddin pada minit ke-4 dan Nur Atira Mohamad Ismail pada minit ke-23 dan 29.
UniKL Ladies akan melengkapkan kempen liga menentang Young Tigress Rabu (24 Mac) ini.
Lega dan bangga dengan pencapaian bersejarah itu, pengurus pasukan Jaldin Ahmad menganggap kejayaan itu terhasil dari komitmen padu semua barisan pemain dan jurulatih serta pengurusan.
“Komitmen tinggi semua pihak terutama pemain menjadi kunci utama kejayaan. Pasukan semakin berkobar-kobar mengahrungi cabaran Piala seterusnya dan kami akan cuba mencipta kejayaan lagi,” kata beliau.
Mutiara Juniors PSHA 1 – 13 PKS Uniten-KPT
LIMA gol jaringan Nur Zafirah Aziz mengemudi PKS Uniten-KPT menang besar 13-1 ke atas Mutiara Juniors PSHA sekaligus mengukuhkan kedudukan skuad itu untuk bergelar naib juara liga.
Jaringan besar pemain berusia 23 tahun itu juga melonjakkan kedudukan Nur Zafirah sebagai antara calon utama untuk muncul sebagagi penjaring terbanyak liga dengan lima gol.
Menyedari saingan sengit dari pencabar utama PDRM Blue Warriors yang turut berpeluang merebut geleran naib juara, PKS Uniten-KPT turun dengan matlamat menghasilkan sebanyak mungkin gol untuk mendapat kelebihan sekiranya kedudukan terikat.
Kedua-dua Uniten dan PDRM terikat pada kedudukan kedua liga kini dengan masing-masing mengumpul 7 mata. Uniten bagaimanapun mendapat kelebihan dengan perbezaan gol yang dijaringkan.
Nur Zafirah meledak dengan tiga gol dari pukulan sudut penalti pada minit ke-11, 36 dan 54 manakala dua gol lagi menerusi jaringan padang pada minit ke-25 dan 27.
Nuraslinda Said membuka jaringan pada minit ke-2 diikuti satu lagi gol pada minit ke-40 manakala Siti Zulaikha Husain juga dua kali menemui sasaran pada minit ke-45 dan 48.
Gol lain dijaringkan oleh Nur Insyirah Effarizal (minit ke-7), Surizan Awang (minit ke-35) dan dua gol menerusi Nurmaizatul Hanim Syafi Shiek Fuad (minit ke-46 dan 49)
Mutiara menamatkan permainan dengan berjaya akhirnya membolosi benteng Uniten menerusi Allisya Yushira Badri pada minit ke-10.
Penolong jurulatih Uniten-KPT Ikmal Abdul Jalal berkata pemain turun dengan sasaran menjaringkan seberapa banyak mungkin gol untuk mendapat kelebihan pada perlawanan terakhir nanti.
“Malam ini, kami memang mengejar jaringan yang besar dan berhasil. Kami akan fokus pada perlawanan terakhir menentang Sabah yang saya anggap amat penting untuk memastikan kedudukan terbaik apabila bersaing dalam Piala Vivian May Soars nanti,” kata beliau.
Penjaring terbanyak Nur Zafirah pula mengakui terlepas lebih banyak peluang tetapi bertekad mencuba untuk terus membantu pasukan dengan menambah jaringan untuk perlawanan seterusnya. “
Perlawanan terakhir Uniten-KPT menentang Sabah amat penting untuk memastikan kedudukan naib juara setelah terikat dengan 7 mata dengan PDRM Blues Warriors.
PDRM Blue Warriors 9 – 0 Young Tigress
PDRM Blue Warriors memastikan kedudukan dalam kelompok empat teratas seterusnya layak ke separuh akhir Piala Vivian May Soars selepas menang mudah 9-0 ke atas Young Tigress.
Begitupun, kegagalan PDRM meraih jaringan lebih besar membawa padah dan menyaksikan PKS Uniten-KPT mengambil alih kedudukan kedua biarpun terikat dengan 17 mata.
Uniten mendapat kelebihan apabila menjaringkan jumlah 18 gol berbanding 17 gol jaringan PDRM.
Nurfatin Dizana Mohd Zaidi (minit ke-4, ke-40) dan Wan Norfaezah Md Saiuti (minit ke-54 dan 57) masing-masing menjaringkan dua menjaringkan gol untuk mencatat kemenangan besar ke atas skuad pembangunan muda negara itu.
Manakala Nurul Safiqah Mat Isa (minit ke-19), Norhaskin Halim (minit ke-28), Fatin Shafika Mohd Sukri (43), Nadia Abdul Rahman (44) dan Norbaini Hashim (51) masing-masing menyumbang satu gol.
Menentang Mutiara Juniors pada perlawanan akhir Rabu ini, selain kemenangan, PDRM pasti mahu memastikan jaringan gol terbanyak bagi memastikan gelaran naib juara.
KEPUTUSAN PENUH:
UniKL Ladies 7 – 0 Sabah
PDRM Blue Warriors 9 -0 Young Tigress
Mutiara Juniors PSHA 1 – 13 PKS Uniten-KPT
JADUAL PERLAWANAN
24 Mac 2021
PKS Uniten-KPT Sabah
UniKL Ladies mln Young Tigress
Mutiara Juniors mln PDRM Blue Warriors