Terengganu Hockey Team (THT) menjulang gelaran Piala Sumbangsih 2019 selepas menewaskan pasukan bintang Universiti Kuala Lumpur (UniKL) 3-1 menerusi penentuan penalti selepas terikat 2-2 dalam permainan sebenar di Stadium Hoki Batu Buruk, hari ini.
Ia adalah kali pertama menyaksikan skuad Pantai Timur itu memenangi gelaran berkenaan selepas gagal dalam empat percubaan terdahulu sejak 2014.
Faizal Saari, pemain Korea Selatan Jang Jon-Hyun dan Fitri Saari menyempurnakan tugasan dengan baik dalam penentuan penalti buat THT manakala satu-satunya gol penalti UniKL disudahkan Rafizul Ezry Mustafa.
“Ia mengecewakan apabila kami gagal menyempurnakan penalti tetapi secara keseluruhannya pemain menunjukkan semangat melawan yang tinggi untuk bangkit selepas ketinggalan dua gol,” kata pengendali UniKL, Arul Selvaraj.
“Kami gagal untuk menyambar trofi Piala Sumbangsih tetapi kami berjaya mendapat satu mata berharga daripada keputusan seri dalam masa permainan sebenar,” tambah Arul yang menjelaskan keputusannya untuk merehatkan penjaga gol import dari Ireland, David Harte untuk penentuan penalti berikutan kecederaan pada bahagian pahanya.
Menerima sokongan padu kira-kira 1,000 penyokong sendiri nyata dimanfaatkan THT yang hanya memerlukan tempoh dua minit untuk berada di depan hasil penyudah pukulan sudut penalti ayam tambatannya, Faizal Saari yang mana bola percubaan rendahnya tepat ke kiri gawang gol dikawal penjaga gol muda, Adrian Andy albert.
Jaringan awal itu bagaikan menyentap semangat anak-anak buah Arul yang memburu trofi Piala Sumbangsih dalam percubaan pertama mereka selepas layak ke saingan berkenaan atas tiket juara Piala TNB tahun lalu.
Malah, ketumpulan barisan serangan selain pilihan pemain yang terhad di posisi itu juga menyaksikan Arul beberapa kali mengarahkan tonggak tengah Mohd Marhan Mohd Jalil bermain sebagai penyerang di sisi Muhamad Hafiz Zainol dan Faridzul Afiq Mohd.
Namun, segalanya tampak tidak menjadi buat UniKL di suku pertama termasuk gagal mendapatkan sebarang pukulan sudut penalti sebelum pakar pukulan sudut penalti dari Korea Selatan, Jang Jon-Hyun menghadiahkan gol kedua buat skuad Pantai Timur itu pada minit ke-15.
Nasib UniKL berubah 360 darjah sebaik bermula suku kedua apabila tindakan Arul untuk membawa masuk Harte berjaya meningkatkan semangat pasukannya dengan penjaga gol terbaik dunia itu yang baharu tiba ke negara ini semalam, menidakkan beberapa percubaan berbahaya THT menerusi Faizal dan Nabil Fikri Mohd Noor.
Dan jaringan yang dinanti-nantikan UniKL akhirnya tiba apabila pembelian terbaru mereka pada musim ini, Razie Abdul Rahim kembali merapatkan jurang menerusi penyudah pukulan sudut penalti di hujung suku kedua sebelum dia menambah jaringan hasil percubaan sama lima minit selepas bersambung suku ketiga.
Kedudukan itu kekal hingga wisel penamat untuk juara ditentukan menerusi penentuan penalti dengan penjaga gol THT Hazrul Faiz Sobri muncul wira pasukannya apabila menafikan tiga percubaan penalti yang ditugaskan kepada Najmi Farizal Jazlan, Mohd Marhan Mohd Jalil dan Hafiz Zainol.